Kadar indeks jenayah Betong menurun

0

BETONG: Kadar indeks jenayah di sini menunjukkan penurunan ketara sepanjang tahun sehingga 25 Disember  berbanding tempoh masa sama tahun lalu yang mencatat penurunan sebanyak 41.53 peratus.

Ketua Polis Daerah (KPD) Betong, Deputi Superintenden (DSP) Aidil Bolhassan berkata, sepanjang tahun ini kadar jenayah dilapor sebanyak 38 kes berbanding 65 kes pada  2013 dan mengalami penurunan sebanyak 31 kes.

Katanya, penurunan kadar jenayah amat ketara apabila hampir semua petunjuk merekod penurunan termasuk indeks jenayah rogol sebanyak 25 peratus atau tiga kes berbanding empat kes pada 2013.

“Jenayah kekerasan mengakibatkan kecederaan mengalami penurunan sebanyak 80 peratus iaitu dua kes berbanding 10 pada tahun lalu. Bagi jenayah harta benda pula, ia  menunjukkan penurunan dalam kes pecah rumah sebanyak 20 peratus yang membabitkan  12 kes berbanding 15 kes tahun sebelum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Krismas anjuran Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu di Dewan Tan Sri Alfred Jabu Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Saint Augustine di sini kelmarin.

Jelasnya, kes curi  motosikal menurun sebanyak 53.5 peratus iaitu tujuh kes berbanding 15 dan lain-lain kecurian menunjukkan penurunan ketara sebanyak 56.25 peratus iaitu tujuh kes berbanding 16 kes yang direkod.

Aidil menjelaskan, beliau yakin penurunan kadar jenayah adalah hasil usaha keras anggota dan pegawai IbuPejabat Polis Daerah(IPD) Betong yang bekerjasama dengan orang awam dalam memastikan jenayah tidak berleluasa.

Dalam pada itu tegasnya, khidmat kepolisan terbaik sentiasa menjadi amalan   anggota PDRM amat dituntut dalam memastikan kelangsungan kejayaan dalam pelbagai program yang dirangka bagi mengeratkan dan kerjasama orang awam memberikan maklumat tepat.

“Usaha ini juga merupakan sebahagian kejayaan PDRM mengurangkan kes jenayah di sini. Ia turut membantu  menegak undang-undang dan kemakmuran seiring dengan kejayaan PDRM menjaga keamanan dan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Aidil turut berkeyakinan dengan kerjasama serta semangat setia kawan antara polis dan masyarakat semua program dirangka akan berjaya dilaksanakan.

Dengan rekod yang ada, ia telah menunjuk petanda positif dalam melaksanakan tanggungjawab bersama meskipun masih ada segelintir masyarakat takut tampil memberi maklumat tepat.