Mayat dalam gerai burger

0

Oleh Rusnan Mustafa //

Bandar Baru Samariang gempar pemuda ditemui mati selepas ‘pertemuan terakhir’ dengan kakaknya

GEMPAR: Orang ramai mengerumuni kawasan kejadian selepas mendapat berita mayat seorang pemuda dijumpai di dalam gerai burger, Bandar Baru Samariang semalam.

KUCHING: Malam Krismas menjadi detik pertemuan terakhir dua adik-beradik apabila si kakak mendapat berita adiknya dijumpai mati dalam sebuah gerai burger tepi jalan di Bandar Baru Samariang, semalam.

Menurut kakak mangsa, kali terakhir dia berjumpa dengan adiknya yang dikenali Suhaimi Ibrahim, 26, dari Bandar Baru Samariang pada 25 Disember lalu, sekitar jam 7 malam.

“Dia pernah memberitahu saya, ini mungkin pertemuan terakhir semasa berjumpa dengannya pada Khamis lepas,” luah kakak mangsa.

Mangsa merupakan anak ketujuh daripada 12 adik-beradik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, mayat pemuda itu dijumpai oleh pemilik gerai burger berpakaian lengkap tanpa kasut, mengiring menghadap ke arah dalam bahagian stor gerai burger berkenaan.

Jelasnya lagi, pakar patologi tiba di tempat kejadian dan menjumpai kesan luka lama pada kepala mangsa.

“Kita menerima panggilan sekitar 12.30 tengah hari (semalam) yang memaklumkan bahawa penemuan mayat pemuda berkenaan.

“Tiada saksi awam yang nampak kejadian itu,” jelasnya.

Roslan memberitahu, sepasukan forensik yang menjalankan siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang senjata.

“Keluarga si mati juga telah tampil membuat pengecaman mayat semalam,” tambahnya.

Penemuan mayat itu semalam menggemparkan penduduk Bandar Baru Samariang.

Orang ramai mula mengerumuni kawasan kejadian apabila berita itu tersebar.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Klasifikasi kes akan dibuat selepas mendapat hasil laporan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini.

Tiada suspek ditahan setakat berita ini ditulis dan polis masih menjalankan siasatan.

SADIS: Mayat pemuda ditemui di dalam gerai burger, Bandar Baru Samariang semalam.

DAPAT MAKLUMAT: Polis mendapatkan butiran mayat berkenaan daripada kakak mangsa.