Tersepit 20 minit dalam kancil

0

REMUK: Seorang anggota polis trafik melakukan siasatan di lokasi kemalangan.

MIRI: Seorang lelaki menerima padah ketika membuat pusingan-U pada laluan salah di Jalan Tanjung Lobang apabila tersepit selama 20 minit setelah kenderaannya dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda (4WD) petang semalam.

Dalam kejadian itu, lelaki yang memandu kereta jenis Perodua Kancil itu melakukan pusingan-U melalui jalan masuk ke simpang sebuah restoran di kawasan berkenaan sekitar jam 3 petang.

Malang tidak berbau apabila tiba-tiba sebuah kereta 4WD dari arah bandar merempuh Kancil tersebut.

Akibat perlanggaran, mangsa dikatakan tersepit di dalam kereta dan hanya dapat dikeluarkan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan segera, manakala pemilik kenderaan 4WD dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.