Banjir: Sarawak pertimbang adakan solat hajat

0

KUCHING: Sarawak pertimbang untuk mengadakan solat hajat dalam masa terdekat bagi memohon keberkatan bagi mangsa banjir di Semenanjung Malaysia.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, setakat ini Sarawak belum lagi melaksanakan solat hajat tetapi sedang mempertimbang untuk melakukannya.

“Sarawak setakat ini kita belum melaksanakan (solat hajat), dari segi Sarawak sendiri kita bersyukur kerana keadaan di sini baik dan mendoakan tidak berlaku banjir.

“Kita akan mempertimbangkan (bila) solat hajat dan mungkin kita buat untuk mangsa banjir di Semenanjung,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Permit Pendudukan (OP)  oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) kepada pemilik rumah Taman Hillside di sini, semalam.

Pada 25 Disember lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memohon seluruh umat Islam di Malaysia supaya mengadakan solat hajat dan munajat secara berterusan khususnya bagi mendoakan agar banjir yang melanda negara dapat surut serta reda dengan segera.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, JAKIM juga memohon jasa baik pihak Jabatan Agama Islam negeri-negeri agar dapat mengambil insiatif yang sama kepada masjid-masjid dan surau di bawah pentadbiran negeri masing-masing.

Sementara itu, mengulas mengenai isu ahli akademik juga penceramah, Dr Ridhuan Tee yang tidak dibenar memasuki negeri ini, Daud berkata, kerajaan negeri bersetuju tidak membenarkan beliau memberikan ceramah kerana ia dibimbangi akan menggugat perpaduan pelbagai kaum dan agama di Sarawak.

“Ini merupakan kali pertama kita melakukan tindakan sebegini kerana kita perlu berhati-hati. Kita mahu memberitahu bahawa Sarawak amat serius dengan individu yang membawa kontroversi dari Semenanjung.

“Bagaimanapun, saya mahu menasihatkan kepada penganjur ceramah, walaupun Dr Ridhuan tidak dibenar membuat ceramah di sini tidak bermakna penceramah lain dari Semenanjung tidak dibenarkan,” katanya sambil memberitahu, sedangkan ramai lagi penceramah dari Semenanjung yang boleh dijemput.