Contohi pengalaman Sarawak

0

Negeri terjejas harus belajar cara efisien tangani banjir

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

MIRI: Pengalaman kerajaan negeri dalam menangani banjir di Sarawak harus dijadi satu panduan kepada negeri di Semenanjung Malaysia dalam menangani fenomena berkenaan pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Jok berkata, kerajaan negeri Sarawak mengambil beberapa iktibar daripada pengalaman lalu untuk diaplikasi berdepan dengan situasi banjir.

“Sebagai contoh kita mempunyai bekalan makanan disedia di Pangkalan Hadapan untuk mangsa banjir jika semua perhubungan terputus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo semalam ketika ditanya pendapat mengenai situasi banjir dihadapi di Semenanjung Malaysia pada masa ini.

Jelasnya, bekalan makanan dan keperluan asas harus diletak di kawasan dan tempat strategik terlebih dahulu sebelum berlaku banjir.

“Ia memudahkan bekalan diagih ketika fenomena berkenaan berlaku pada bila-bila masa. Kita tidak mahu putus bantuan kepada mangsa banjir.

“Kita ambil iktibar daripada masalah di Semenanjung, ada laporan mendakwa sukar mendapat bekalan makanan dan keperluan asas kerana masalah cuaca serta geografi,” katanya.

Dennis menjelaskan, rakyat negeri ini harus bersyukur kerana tidak berlaku banjir besar seumpamanya terutamanya kawasan Baram pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa simpati kepada semua keluarga dan mangsa banjir di Semenanjung Malaysia yang sedang menghadapi kesukaran pada ketika ini.

“Diharap semua pihak bersabar ketika menghadapi situasi seperti ini, kita faham dan bersimpati,” jelas beliau lagi.

Antara negeri terjejas teruk dilanda banjir adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Perlis dan Johor.