Kempen derma darah di Delta Mall hari ini

0

SIBU: Sibu Life Care Society dengan kerjasama Bank Darah Hospital Sibu menganjurkan kempen menderma darah bertempat di Delta Mall dari jam 9.30 pagi hingga jam 2 petang pada 28 Disember (hari ini).

Jurucakap penganjur, ia terbuka kepada orang ramai berminat dalam usaha membantu bank darah mendapatkan stok darah bagi kegunaan hospital.

Orang ramai yang ingin menderma darah katanya, perlu mengambil masa rehat mencukupi sebelum tampil menderma.

“Ini bagi memastikan mereka agar tidak akan ditolak apabila menderma kelak disebabkan beberapa faktor kesihatan tidak memuaskan,” tambahnya.

Antara objektif utama kempen itu ialah untuk membolehkan pihak hospital Sibu sentiasa mempunyai bekalan darah yang secukupnya bagi mengatasi masalah kekurangan darah sekaligus menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menderma darah bolehlah datang sendiri ke Bank Darah Hospital Sibu pada hari Isnin hingga Khamis dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan bersambung semula pada jam 2 petang hingga jam 4.15 petang.

Manakala pada hari Jumaat jam 8 pagi hingga jam 11.15 pagi dan bersambung semula pada jam 2.15 petang hingga jam 4.30 petang.

Pihak bank akan tutup pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum (bergantung kepada permintaan umum yang ada membuat temujanji dengan pihak bank untuk mengadakan kempen menderma darah).

Tempat adalah di Tabung Darah (Hospital Sibu Blok B) iaitu Pintu No.55 Hospital Sibu.

Sebarang pertanyaan lanjut diminta menghubungi Bank Darah Hospital Sibu di talian 084-343333 sambungan 2010.