Landasan belia serlah bakat seni kepada umum

0

KREATIF: ‘9 Lives’ terdiri daripada (dari kiri) Farhani, Amy, Husni dan Rafeah bergambar pada lukisan grafiti mereka di kawasan Taman Budaya di Kuching, semalam.

BERBAKAT: Raymond sedang menyiapkan grafiti hidupan lautnya.

 

Sukarelawan 9 Lives, House of Youth jaya projek grafiti pada dinding penghadang bukit Taman Budaya

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Warga kota yang melalui kawasan Taman Budaya di sini pasti perasan dengan kehadiran sekumpulan belia yang sedang sibuk menyiapkan grafiti pada dinding penghadang bukit di situ.

Kemunculan pelukis grafiti itu mula kelihatan sejak dua minggu lepas dan warna-warna terang daripada grafiti yang mereka lukis pasti menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut.

Bagi melihat dengan lebih dekat, wartawan Utusan Borneo semalam menemui mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang projek itu.

Menurut Husni Zuhairin Sarbini, 26, mereka merupakan sukarelawan yang dijemput oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk melukis grafiti bagi memperindahkan bandar raya ini.

Jelasnya yang merupakan Pengasas 9 Lives, mereka turut bekerjasama dengan sebuah lagi kumpulan seni iaitu House of Youth bagi menjayakan projek berkenaan.

“Seramai empat ahli 9 Lives melukis grafiti ini dan kami memfokuskan pemandangan gua, flora dan fauna terdapat di hutan Sarawak termasuklah orang utan serta burung kenyalang yang terkenal di negeri ini,” ujarnya.

Antara ahli ‘9 Lives’ yang turut serta ialah Amy Amin, Rafeah Haziami Afdzalillah dan Farhani Junaidi.

Sementara itu, Raymond Goem, 20, dari House of Youth berkata, bagi melengkapkan grafiti tersebut, mereka memilih untuk melukis grafiti hidupan laut, pantai serta kawasan tanah rendah.

Jelasnya, dia ditemani dua rakannya Azlan Syah dan Mohd Aiqal.

“Fokus kami pada masa ini adalah untuk menyiapkan grafiti ini sebelum tahun 2015 menjelma.

“Walaupun cabaran utama yang kami hadapi pada masa ini adalah cuaca yang tidak menentu, tetapi kami akan berusaha melaksanakannya dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.

Kata Raymond lagi, untuk projek itu peralatan telah disediakan oleh DBKU.

“Kami melakukannya secara sukarela dan dengan adanya projek seperti ini, dapatlah kami menyumbang kepada keindahan serta mencantikkan lagi bandar raya ini,” jelasnya.

Ditanya mengenai projek sama pada masa hadapan, mereka bersedia melakukannya lagi jika diperlukan.

“Ini juga merupakan salah satu daripada landasan kami (sebagai belia) menunjukkan bakat seni kami kepada umum.

“Diharapkan lebih ramai belia berbakat dalam bidang seni dapat tampil bersama-sama kita memartabatkan seni pada masa hadapan,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh mengikuti Instagram ‘9 Lives’ (9LivesBorneo) dan Facebook (9 LIVES).