MBM kutip RM600,000 hasil jualan beg plastik

0

MIRI: Tabung Budaya Hijau Majlis Bandaraya Miri (MBM) memperoleh kutipan derma hampir RM600,000 hasil sumbangan pengusaha pasar raya hasil jualan beg plastik kepada pelanggan sepanjang tempoh lima tahun.

Datuk Bandar, Lawrence Lai berkata, sejumlah RM573,260.80 berjaya dikumpul MBM sejak Kempen ‘Katakan Tidak Kepada Beg Plastik’ yang dilancar  pada 2010.

Pasar raya terlibat dalam kempen itu akan mengenakan bayaran 20 sen kepada pelanggan dan 10 sen akan didermakan kepada badan kebajikan sementara 10 sen didermakan kepada Tabung Budaya Hijau MBM.

Pada tahun 2010, MBM mengutip sebanyak RM108,160.45. 2011 (RM177,940.64), 2012 (RM165,238.50), 2013 (RM91,236.42) dan 2014 (RM30,684.80).

Beliau memberitahu, wang itu diguna untuk mencetak beg mesra alam (ecobag), bayaran kajian kepada Universiti Curtin, menghasilkan kotak kertas makan tengah hari, cawan kertas dan tajaan untuk kempen 3R anjuran Persatuan Khidmat dan Jualan Komputer (CSSA) yang  semuanya melibatkan perbelanjaan sebanyak RM98,304.

“Baki dalam tabung kita sekarang  sebanyak RM474,956.34. Kita akan menghantar surat penghargaan kepada pasar raya  terlibat atas sokongan mereka menjayakan kempen ini,” jelas Lawrence.

Beliau berkata demikian ketika merasmi Kempen ‘Katakan Tidak Kepada Beg Plastik’ 2.0 di Permaisuri Imperial City Mall semalam.

Jumlah pasar raya terlibat dalam kempen itu berkurangan daripada  14 sejak  2010 kepada 11 pasar raya termasuk Boulevard Hypermarket Pujut, Boulevard Hypermarket Imperial, Emart Supermarket, Giant Supermarket Bintang, Ng Sian Hup Supermarket, Perdagangan Ekonomi, GK Supermarket, Pick & Save, Ta Kiong Supermarket dan Hot Cross Buns.

Pada 2012, MBM melantik Universiti Curtin Sarawak untuk mengendalikan laporan kaji selidik bawah topik ‘Menjadikan Miri Bandaraya Hijau : Keberkesanan Kempen Katakan Tidak Kepada Beg Plastik oleh MBM’.

Pada majlis itu, MBM menerima sumbangan RM212,842 dari Boulevard Hypermarket dan RM6,208.30 dari Ng Sian Hup untuk Tabung Budaya Hijau MBM.