MBM mansuh bayaran 20 sen beg plastik

0

Pengusaha diminta cari pendekatan baharu untuk galak pengguna bawa beg sendiri

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Bayaran 20 sen untuk beg plastik yang dikenakan kepada pelanggan di pasar raya sejak lima tahun lalu akan dihentikan bermula 1 Januari depan.

Pemansuhan bayaran itu diumum oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai semasa pelancaran Kempen Katakan Tidak Kepada Beg Plastik 2.0 di Permaisuri Imperial City Mall semalam.

Sehubungan itu, pengusaha diminta memberi kerjasama kepada pihak MBM dengan merancang pendekatan baharu bagi mengurangkan penggunaannya dalam kalangan pelanggan.

“Antara pendekatan strategik ialah menghentikan sepenuhnya penggunaan beg plastik, mengguna semula atau mengitar semula beg plastik untuk membantu mengurangkan penggunaannya,” jelasnya.

Selain itu, pengusaha dicadang menawar diskaun dan insentif kepada pelanggan yang membawa beg sendiri atau beg mesra alam ketika membeli-belah di pasar raya mereka.

Lawrence berkata, Boulevard Hypermarket kini menawar tiket bertuah untuk setiap pembelian melebihi RM30 kepada pelanggan yang berbelanja menggunakan beg sendiri.

Boulevard menawar hadiah bulanan bernilai RM6,000 untuk pemenang  tiket bertuah sebagai cara menggalak pelanggan menggunakan beg sendiri di pasar raya.

“Kita tidak mahu memaksa atau menekan pengusaha. Ia adalah idea dan inisiatif sendiri untuk mengurang penggunaan plastik di pasar raya mereka,” tambahnya.

Lawrence berkata, kejayaan kempen itu melibatkan kerjasama semua kerana belum ada undang-undang menyekat dan mengharam sepenuhnya penggunaan beg plastik.

Kempen Katakan Tidak Kepada Beg Plastik dilancar pada tahun 2010 dan Miri merupakan bandar raya pertama mengenakan bayaran 20 sen untuk beg plastik setiap hari di pasar raya yang mengambil bahagian dalam kempen berkenaan.

Kempen berjaya meningkat pemahaman penduduk tentang bahaya penggunaan beg plastik dan semakin ramai membawa beg sendiri ketika membeli-belah.