Meriahkan sambutan ambang 2015 di Dataran Batang Lupar

0

SRI AMAN: Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dengan kerjasama jabatan  kerajaan di Daerah Sri Aman akan menganjur sambutan ambang  2015 bertempat di Dataran Batang Lupar, Sri Aman pada 31 Disember ini.

Penolong Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Noor Hayati Ahmad berkata, sambutan itu dirai seawal jam 2 petang bermula dengan pertandingan ‘Battle Of The Band’ peringkat saringan yang dijadualkan bermula pada jam 2 petang sehingga jam 4.30 petang.

Turut diadakan katanya, ‘Auto Show’ yang akan bermula pada jam 4 petang sehingga jam 12 tengah malam  di sepanjang Jalan Club dan juga Jalan Main Bazaar.

Menurutnya lagi, pada sebelah malam bermula jam 8 malam akan diadakan pertandingan ‘Battle Of The Band’ peringkat akhir disusuli persembahan kebudayaan serta persembahan nyanyian artis tempatan, Ricky Andrewson.

Katanya lagi, saat yang dinanti ialah hitungan detik 12 tengah malam ambang 2015 disusuli  pertunjukan bunga api di lokasi yang sama.

Tambahnya lagi, orang ramai yang berkunjung ke sambutan  ini nanti turut berpeluang membawa pulang hadiah menarik cabutan bertuah termasuk hadiah utama iaitu mesin basuh, periuk nasi elektrik dan pelbagai hamper menarik.

Jelasnya, johan pertandingan ‘Battle Of The Band’ bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjulah RM 1,000 manakala naib johan dan tempat ketiga  masing-masing bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM700 dan RM500.

Yuran penyertaan sebanyak RM50 untuk pertandingan ini di mana tarikh tutup penyertaan telah ditetapkan pada 30 Disember ini.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut  pertandingan ini boleh berhubung terus dengan Ellfizan Paukan menerusi talian 019-8381922.