Pemuda nyaris maut selepas motosikal terbabas

0

SRI AMAN: Seorang pemuda berusia 20-an nyaris maut setelah motosikal  ditunggangnya terbabas di hadapan Penjara Pusat Sri Aman di sini petang kelmarin.

Sumber di tempat kejadian memberitahu, dalam kejadian berlaku sekitar jam 5 petang itu, mangsa sedang dalam perjalanan balik dari pusat bandar menuju ke kediamannya di Taman Sri Jaya.

Menurut sumber itu lagi, kemungkinan disebabkan keadaan jalan raya agak licin selepas hujan menyebabkan motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan raya.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan serta kaki disebabkan terbabas ke tepi jalan raya sebelum merempuh longgokan batu kecil di tepi jalan raya.

Bagaimanapun, mangsa berjaya diselamat orang awam yang melalui jalan itu sekali gus membantu menghubungi hospital dan pihak polis.

Hasil ketangkasan bantuan orang awam, pihak hospital dan polis tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Orang awam yang melalui Jalan Brayun terutama jalan hadapan Penjara Pusat di sini serta jalan sepanjang Jalan Brayun ini dinasihat berhati-hati kerana keadaan jalan raya berbahaya terutamanya kepada penunggang motosikal disebabkan beberapa projek perumahan sedang rancak dijalankan.