Pertandingan sepanduk akan diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul

0

KUCHING: Pertandingan sepanduk akan diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri pada 3 Januari depan.

Ia terbuka kepada kontinjen mengambil bahagian semasa perarakan sempena sambutan itu yang mewakili kementerian, jabatan, badan berkanun, swasta, persatuan, pertubuhan sukarela, sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta kampung.

Perarakan bermula dari Masjid Jamek melalui Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Astana, Jalan Pedidi dan Jalang Awang Wai dan berakhir di Masjid Jamek.

Pertandingan itu bertujuan mengeratkan lagi silaturahim antara penduduk di samping meramaikan lagi warga yang dapat menguasai kemahiran penulisan jawi seterusnya akan memeriahkan sambutan Maulidur Rasul.

Sepanduk yang dipamerkan perlu memiliki nilai kreatif sentuhan moden dan tradisi hasil kerja tangan kontinjen.

Sepanduk-sepanduk harus bertunjangkan tema ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara.’

Saiz sepanduk hendaklah berukuran empat kaki lebar dan lapan kaki panjang menggunakan papan lapis atau ‘hard board’ atau kain rentang/kanvas menggunakan bingkai.

Sepanduk hendaklah bertulis atau bercetak merupakan terjemahan ayat al-Quran atau hadis dalam gabungan tulisan rumi dan jawi.

Penulisan ayat al-Quran di sepanduk tidak dibenarkan.

Sehubungan itu, pihak yang berminat untuk menyertai pertandingan sepanduk dan perarakan boleh menghubungi urus setia Pejabat Agama Islam Bahagian Kuching, Ustaz Ramzen Ambi menerusi talian 082-507208.