Rakyat memerlukan terus dibantu

0

DEMI KEBAJIKAN: Hasidah menyarungkan beg sekolah kepada salah seorang pelajar yang menerima bantuan persekolahan pada majlis penyerahan bantuan Program Sayang 1Samariang di Kuching, semalam.

Bantuan persekolahan sejajar matlamat perkasa tahap pendidikan

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional akan terus berusaha mendekati rakyat menerusi program kemasyarakatan dan kebajikan, khasnya membantu golongan kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, salah satu usaha tersebut ialah menghulurkan bantuan peralatan persekolahan sebagai pembakar semangat kepada anak-anak agar lebih rajin untuk ke sekolah.

“Kita semua sedia maklum, sesi persekolahan bagi 2015 tidak lama lagi akan bermula.

“Justeru, saya rasakan inilah masa yang sesuai untuk menyalurkan bantuan persediaan terutama kepada golongan keluarga yang kurang berkemampuan seperti miskin tegar, ibu tunggal serta anak-anak berkeperluan khas (OKU),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bantuan peralatan persekolahan di bawah Program Sayang 1Samariang di Dewan Kampung Semerah Padi, Jalan Bangau di sini semalam.

Seramai 171 kanak-kanak dalam kalangan murid sekolah berusia 12 tahun ke bawah di Zon Samariang menerima sumbangan tersebut, semalam.

Hasidah berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan matlamat kerajaan BN untuk memperkasakan tahap pendidikan anak-anak tanpa mengira latar belakang keluarga.

“Pada masa sama, ia dapat menggalakkan anak-anak untuk lebih bersifat rajin dan minat untuk pergi ke sekolah.

“Saya berharap, inisiatif seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa agar ia juga dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk sekitar dengan pemimpin wakil rakyat sekali gus menimbulkan rasa kasih sayang sesama kita tanpa ada wujud batas perbezaan,” ujar Hasidah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak.

Antara peralatan persekolahan yang disumbangkan kepada para penerima ialah beg sekolah, bekas air, bekas makanan, pensel warna, peralatan alat tulis dan banyak lagi.

Program  Sayang 1Samariang akan dilanjutkan hingga hari ini.

Di zon terakhir meliputi Kampung Semariang Baru Fasa 3, Kampung Semariang Jaya Fasa 2, Kampung Wawasan Jaya dan Taman Sukma, seramai 130 murid akan menerima bantuan yang sama.

Antara zon yang sudah menerima bantuan peralatan persekolahan itu ialah zon Kampung Siol Kandis, Taman Sourabaya Indah, Kampung Demak Baharu, Kampung Semariang, Taman Sri Wangi, Kampung Malaysia Jaya dan banyak lagi.