Pesawat AirAsia hilang

0

Pesawat AirAsia Indonesia bawa 162 orang, hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pagi semalam

TEMURAMAH: Louise Sitharta, 25, (tengah) tunang kepada Alain Oktavianus Siaun, 27, salah seorang penumpang pesawat AirAsia QZ8501 yang terputus hubungan dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura ketika ditemuramah pemberita di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat AirAsia Indonesia, yang membawa 162 orang, hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura pagi semalam.

Menurut laman Facebook dan Twitter rasmi AirAsia, pesawat Airbus A320-200 itu terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara pada jam 7.24 pagi waktu tempatan.

Penerbangan QZ8501 itu membawa 155 penumpang terdiri daripada 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi.

Dalam kenyataannya, AirAsia berkata pesawat itu dikendalikan dua juruterbang, lima petugas kabin dan seorang jurutera.

“Ketika ini, operasi mencari dan menyelamat dijalankan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Indonesia,” katanya.

Kenyataan itu berkata AirAsia Indonesia dengan sedaya upaya memberi kerjasama penuh dan membantu penyiasatan tentang kejadian itu daripada segenap aspek.

Mereka yang menaiki pesawat menggunakan kod pendaftaran PK-AXC itu terdiri daripada 156 rakyat Indonesia, tiga Korea, satu Singapura, satu Malaysia, satu United Kingdom manakala kewarganegaraan kru adalah enam Indonesia dan satu Perancis.

Kenyataan itu berkata pesawat terbabit, yang menggunakan laluan penerbangan dirancang, kemudian memohon membuat lencongan berikutan cuaca buruk, sebelum terputus hubungan ketika berada dalam kawasan Pusat Kawalan Trafik Udara Indonesia.

Ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya pada jam 5.35 pagi waktu tempatan.

AirAsia berkata kapten pesawat berkenaan mempunyai rekod 6,100 jam penerbangan manakala pembantunya 2,275 jam penerbangan.

Katanya kali terakhir pesawat itu menjalani penyenggaraan berjadual adalah pada 16 November 2014.

Dalam reaksi segera beliau tentang kejadian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata: “Terima kasih atas doa dan ingatan ikhlas anda semua, kita perlu terus kuatkan semangat.”

Sementara itu, pengeluar pesawat Airbus berkata pihaknya ‘telah dimaklumkan tentang suatu kejadian’ dan segala usaha sedang dilakukan bagi menilai keadaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata para pegawai pengangkutan Malaysia sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan mereka dari Indonesia dan Singapura.

“Kami sentiasa bersedia memberi apa jua bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

AirAsia Indonesia beroperasi dari lima hab – Jakarta, Bandung, Bali, Surabaya dan Medan.

Menurut laman sesawang syarikat itu, ketika ini AirAsia Indonesia menggunakan 30 pesawat Airbus A320.

AirAsia Indonesia ditubuhkan pada 8 Disember 2004 melalui usaha sama antara AirAsia International Ltd dan PT Awair International.

Sebelum menukar namanya secara rasmi pada 9 September 2005, AirAsia Indonesia dikenali sebagai Awair. — Bernama