Rakyat perlu hargai keamanan, kestabilan Sarawak

0

LANCAR: Asfia melakukan simbolik pelancaran perarakan Maulidur Rasul disaksikan Adenan (dua kanan), semalam. Turut kelihatan Jamilah (kanan), Daud (tiga kanan) dan Fatimah (empat kanan).

Masyarakat majmuk harus pertahan keunikan hidup yang diwarisi sejak dahulu lagi, kata Adenan

Oleh Agnes Tugong                          dan  Rusnan Mustafa //

 

KUCHING: Masyarakat majmuk perlu menghargai dan memperkukuhkan keamanan, keharmonian serta kestabilan yang diwarisi lebih daripada 27 suku kaum yang mendiami negeri ini sejak dulu lagi.

Tertarik dengan pandangan Ibnu Khaldun yang menyatakan bahawa manusia secara semula jadinya suka hidup bermasyarakat, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata ungkapan ini menjelaskan manusia perlu hidup saling bergantung antara satu sama lain.

Dalam konteks negeri Sarawak, katanya, orang Melayu tidak boleh hidup dalam kalangan Melayu sahaja, begitu juga dengan orang Iban yang tidak boleh menyisihkan diri dalam masyarakat majmuk begitu juga Orang Ulu, Cina, Bidayuh, Melanau, India dan lain-lain.

Dari sudut politik pula, katanya, masyarakat majmuk Sarawak secara bersama berkongsi kuasa antara satu sama lain secara adil dan seimbang, seboleh-bolehnya tertakluk kepada mandat rakyat yang memilih.

Jalinan persefahaman serupa ini telah menempatkan masyarakat majmuk Sarawak sebagai masyarakat unik dan bertoleransi tinggi yang mengutamakan kerjasama, saling hormat-menghormati serta kecintaan yang mendalam terhadap negeri dan tanah air.

“Masyarakat majmuk Sarawak terdiri lebih daripada 27 suku kaum dengan kepercayaan dan cara hidup berbeza tetapi telah bersama-sama memberi sumbangan kepada pembangunan negeri ini.

“Melihat kepada kepelbagaian ini maka langkah penyatuan masyarakat majmuk bukan satu perkara mudah, sebaliknya memerlukan usaha berterusan dalam menangani perkara-perkara yang boleh membawa kepada perpecahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di pekarangan Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya di sini semalam.

Perarakan semalam dilancarkan oleh Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu dan isteri Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datin Amar Fatimah Mohd Iskandar, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman serta yang lain.

Daud dalam ucapannya pula berkata, sebarang sensitiviti perlu diurus dengan pertimbangan yang toleran oleh rakyat agar dapat digembleng menjadi kekuatan dan nadi kepada langkah-langkah pembangunan negara.

Beliau berkata, dalam konteks Sarawak yang majmuk, setiap rakyat harus berusaha mencari dan menggandakan persamaan serta mengecilkan perbezaan antara satu sama lain.

Malah, sebagai sebuah negeri yang berdaulat dalam Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menjadi punca kuasa dan rujukan terpenting dalam usaha menjamin hak-hak kepelbagaian tersebut secara adil.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak meraih dua gelaran juara untuk pertandingan perarakan semperna sambutan Maulidur Rasul.

Dua gelaran juara itu masing-masing diperolehi dalam pertandingan sepanduk kategori jabatan dan agensi kerajaan dan pertandingan perarakan.

Kemenangan itu menyaksikan JKM Sarawak membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan hadiah sampingan bagi setiap kategori.

Kira-kira 212 kontinjen dengan lebih 10,000 orang menyertai perarakan Maulidur Rasul itu.

Bagi pertandingan sepanduk kategori syarikat swasta dan institusi kewangan pula dimenangi Telekom Malaysia, manakala kategori masjid dan surau dimenangi Surau Darul Ain Jalan Sultan Tengah.

Kategori Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dimenangi JKKK Kampung Sejingkat Hilir, kategori institut pendidikan tinggi dimenangi Kolej Komuniti Mas Gading dan kategori sekolah tabika, sekolah rendah dan menengah pula dimenangi SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan.

Majlis perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri semalam turut diserikan dengan penyertaan dua kontijen yang terdiri di kalangan masyarakat bukan Islam iaitu Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak dan Persatuan Masyarakat Kaum Iban Kuching.

Kontinjen Tentera Darat Malaysia (TDM) pula dianugerahkan sebagai pememang kontinjen paling meriah kerana disertai 1,000 peserta pada perarakan tersebut.

Terdahulu malam kelmarin, lebih 500 orang menghadiri Majlis Kesyukuran dan Zikir Maulid sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak di Masjid Jamek yang diserikan dengan kehadiran Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.