Penerima dana kerajaan perlu guna peruntukan sebaiknya: Abdul Karim

0

ASAJAYA: Penerima dana daripada kerajaan perlu menggunakan peruntukan itu sebaiknya bukan disimpan untuk mendapatkan keuntungan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Pengagihan Cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Dewan Sekolah Menengah Hajah Laila Taib di sini semalam.

Beliau menegaskan bahawa dana itu diberikan untuk kegunaan penerima yang terdiri daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masjid dan surau bagi menganjurkan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya difahamkan ada yang tidak menggunakan geran MRP yang telah diagihkan ini untuk mendapatkan keuntungan, perkara sebegini tidak seharusnya terjadi kerana wang yang diagihkan adalah untuk kegunaan sesebuah persatuan menganjurkan aktiviti bukannya disimpan semata-mata,” tegasnya.

Dalam majlis itu, Karim mengagihkan cek MRP kesemuanya bernilai RM1,093,000 kepada 136 NGO, PIBG, persatuan dan kelab serta masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya.

“Pada hari ini kita mengagihkan geran MRP kepada penerima untuk kegunaan persatuan dan ahli jawatan kuasa masjid dan surau menganjurkan aktiviti seperti mesyuarat dan sebagainya.

“Saya tidak mahu melihat dana yang diagihkan digunakan untuk tujuan lain atau disimpan di dalam akaun tanpa memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.

Pada masa sama Menteri Muda Perumahan itu menyarankan setiap PIBG di kawasan Asajaya bekerja rapat dengan pihak sekolah untuk meningkatkan pencapaian akademik anak-anak.

Jelasnya, PIBG mempunyai peranan penting bersama-sama dengan pihak sekolah memajukan pencapaian akademik dan kokurikulum anak-anak menerusi cadangan dan penganjuran aktiviti bersama.

“Sekiranya PIBG itu aktif maka kita amat yakin pihak sekolah akan lebih mudah untuk menganjurkan aktiviti dan program pendidikan kepada anak-anak sekali gus membantu meningkatkan prestasi mereka,” katanya.