Persempadanan baharu tidak jejas kekuatan BN, kata Karim

2

ASAJAYA: Persempadanan baharu bahagian-bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak tidak menjejaskan kekuatan Barisan Nasional (BN) khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau yakin jentera BN sedia menguasai kesemua 11 kerusi Dewan Undangan Negeri baharu itu.

“Kita di PBB sentiasa ber-gerak di peringkat akar umbi walaupun ada kawasan ranting dikeluarkan dan masuk di kawasan DUN lain serta DUN baharu, ia tidak menjejaskan kekuatan kita kerana ranting yang sedia ada tetap kukuh dan kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Hajah Laila Taib di sini semalam.

Mengenai kawasannya, Karim memberitahu bahawa sebanyak 14 ranting melibatkan kira-kira 5,000 pengundi di DUN Asajaya kini dimasukkan ke kawasan DUN Muara Tuang selepas persempadanan baharu itu.

“Saya difahamkan tiga daerah mengundi di kawasan DUN Asajaya keluar dari kawasan ini dan dimasukkan ke kawasan DUN Muara Tuang.

“Manakala sebahagian daripada kawasan DUN Muara Tuang, Kota Sentosa dan Batu Kawa dipecahkan dan dimasukkan ke dalam kawasan baharu iaitu DUN Stakan,” jelasnya lagi.