Ikon, kepetahan berbicara gamit semua

0

Allahyarham Tun Rahman buka jalan kepada ramai pemimpin muda dalam politik

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: “Beliau merupakan ikon saya dan saya menggelarnya Sukarno Malaysia,” demikian kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim terhadap Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub.

Tambah Ahli Parlimen Batang Lupar itu, pemergian Tun Rahman itu adalah kehilangan besar yang sukar diganti.

“Bagi saya, Allahyarham Tun seorang ikon semasa sekolah dahulu dan melihatnya sebagai pemidato hebat kerana setiap kali memberi ceramah dan ucapan, saya akan terpegun.

“Melihat kepetahan Tun berucap dan bagaimana beliau dapat menarik perhatian pendengar pada ketika itu, saya samakan dengan Sukarno,” katanya ketika ditemui pemberita pada upacara penghormatan terakhir ke atas Tun Rahman di Masjid Jamek di sini, semalam.

Tun Rahman, katanya, merupakan pemimpin yang telah banyak berjasa dan memegang pelbagai portfolio di peringkat persekutuan dan negeri khasnya sebagai Ketua Menteri dan Yang di-Pertua Negeri.

“Beliau membuka jalan kepada kami semua yang baharu sahaja hadir dalam arena politik ini dan ia sebagai permulaan terbaik kepada kami juga,” katanya.

Rohani berkata, Tun Rahman juga banyak menyumbang dalam bidang pendidikan terutama semasa memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran pada ketika itu.

“Saya bertuah kerana sebelum ini selalu berkesempatan berjumpanya di beberapa majlis semasa beliau masih sihat.

“Nasihat yang paling saya tidak lupakan apabila beliau sentiasa memaklumkan kepada saya supaya merendah diri ketika berjumpa rakyat dan sebagainya,” kata beliau.

Beliau berkata antara keistimewaan yang menjadi kenangan kepada dirinya adalah cara Tun Rahman yang mampu menarik perhatian penonton kerana ia bukan satu perkara mudah terutama kepada ahli politik.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sumbangan dan perjuangan Tun Rahman Ya’kub harus dibukukan sebagai tatapan serta rujukan kepada generasi muda masa kini dan terus berkekalan.

Beliau berkata dengan berbuat demikian juga ia mampu untuk mendalami serta memahami sejarah perjuangan bekas Ketua Menteri itu.

“Sumbangan beliau (Tun Rahman) yang begitu besar kepada kita sehingga meletakkan batu asas kepada pembangunan negeri kita sehingga kita dapat menikmatinya pada hari ini.

“Saya berasakan adalah lebih baik kita bukukan perjuangan Tun Rahman untuk tatapan anak-anak muda supaya roh serta semangat itu berkekalan selain lebih memahami sejarah perjuangannya,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, Tun Rahman memberi sumbangan besar kepada negeri ini termasuk bidang pendidikan dengan tertubuhnya Yayasan Sarawak, yang memfokuskan kepada pembangunan pendidika anak bangsa.

Katanya, Tun Rahman melihat bahawa pendidikan akan mentransformasikan rakyat negeri ini.

“Ini terbukti usaha beliau berjaya di samping pembangunan fizikal, beliau turut menyumbang kepada kestabilan dan keharmoniain apabila beliau antara pemimpin yang berjaya menentang komunis pada ketika itu.

“Maka itu saya menyifatkan pemergian beliau ini sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negeri tetapi Malaysia,” katanya.