Harapan UPP wakili BN masih cerah

0

Abang Johari mengakui peranan komuniti Cina tidak dapat disisihkan dalam soal pentadbiran dan pembangunan negara

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Harapan Parti Rakyat Bersatu (UPP) untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilihat masih cerah.

Ia jelas apabila pemimpin kanan BN Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengakui bahawa  peranan komuniti Cina tidak dapat disisihkan dalam soal pentadbiran dan pembangunan.

Sehubungan itu Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan  menggesa UPP dan parti mesra BN yang lain bekerjasama dengan parti-parti BN yang lain untuk pentadbiran dan pembangunan yang lancar.

“Saya yakin pada Pilihan Raya Negeri akan datang Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mempunyai formula untuk kita semua.

“Apa formulanya saya tidak tahu tetapi apa yang pasti Ketua Menteri mahu semua orang terlibat dalam pentadbirannya termasuk komuniti Cina.

“Jadi pada Pilihan Raya Negeri akan datang, komuniti Cina harus membuat pilihan sama ada mahu politik Sarawak atau politik Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Delegasi Tritahunan (TDC) Pertama UPP di KTS Garden di sini, semalam.

Tambah Abang Johari, dalam ekonomi dunia masa kini politik yang dimainkan haruslah politik yang bersatu dan mampu membawa kepada kemajuan.

Justeru, katanya sama ada parti yang diwakili anda itu dalam BN atau mesra BN kita semuanya harus bekerja sebagai satu kumpulan demi mencapai matlamat untuk menjadi negeri paling maju dalam Malaysia menjelang 2030.

Pada TDC itu semalam, Abang Johari yang mewakili Ketua Menteri turut mendoakan kejayaan UPP dalam perjuangan mereka sebagai alternatif untuk mewakili komuniti Cina dalam BN.

Abang Johari juga berharap dengan adanya UPP pada PRN akan datang, komuniti Cina akan membuat pilihan yang bijak dengan memilih parti dari Sarawak dan bukannya parti Semenanjung Malaysia untuk mewakili mereka.

Beliau bagi pihak kerajaan BN juga memberi jaminan bahawa kebajikan komuniti Cina tidak akan diabaikan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun bidang lain.

Turut hadir, Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh dan Timbalannya Datuk Dr Jerip Susil, Naib Presiden Kanan Ranum Mina, Naib Presiden merangkap Ketua Pemuda Dr Johnical Rayong Ngipa, Setiausaha Agung George Lo, Timbalan Presiden TERAS Datuk Peter Nansian Ngusie serta para delegasi.