Hadi serah kepada PAS Sarawak selesai kemelut dengan DAP Sarawak

0

KUCHING: Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada PAS Sarawak untuk menyelesaikan kemelutnya dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.

“Itu saya serahkan kepada PAS Sarawak untuk berunding,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai hubungan yang tidak baik antara PAS Sarawak dan DAP Sarawak.

Beliau ditemu bual selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya, bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Petra Jaya, di sini semalam.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata pihaknya juga perlu mendapatkan maklumat terperinci terlebih dahulu sebelum membincangkan isu itu di peringkat majlis kepimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Kemelut dalam PR di Sarawak telah memuncak apabila DAP Sarawak mengisytiharkan berakhirnya kerjasama dengan PAS Sarawak ekoran kenyataan Naib Ketua Pemuda PAS Mohd Khairil Nizam Khiruddin bahawa PAS tidak menolak kemungkinan keluar daripada PR bila tiba masanya.

Ketua Pemuda DAP Sarawak Wong King Wei yang juga Naib Pengerusi Pemuda DAP Kebangsaan berkata tiada lagi ruang untuk bekerjasama dengan PAS.

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen pula mengugut memutuskan semua ikatan dengan PAS dalam PR jika PAS kekal dengan pendirian melaksanakan hukum hudud yang dianggap Chong sebagai bertentangan dengan manifesto pilihan raya PR.