Kehadiran pada TDC hanya hormati UPP

0

Oleh Jessica Jawing//

 

KUCHING: Kehadiran Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) Pertama Parti Rakyat Bersatu (UPP) sebagai menghormati parti itu, yang mempunyai ideologi politik sama dengan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sehubungan itu parti komponen BN lain seharusnya faham dan tidak mempersoalkan perkara berkenaan, yang hanya akan memburukkan lagi situasi politik di negeri ini.

Jelas Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) itu, sama ada UPP mahupun Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ia adalah rakan kepada PBB.

“Seperti mana PBB menghormati SUPP sebagai rakan komponen BN, PBB juga menghormati pihak mesra BN seperti UPP, yang mempunyai ideologi politik yang sama dengan BN.

“Tambahan wakil rakyat UPP adalah mereka yang dipilih rakyat sebagai calon BN dan juga duduk di bahagian ‘kerajaan’ dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selain masih berada dalam Kabinet Negeri,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan SUPP yang melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan pemimpin kanan BN Negeri juga Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang menghadiri TDC UPP baru-baru ini.

Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian dalam kenyataan medianya berkata tindakan Abang Johari itu menyebabkan kekeliruan dan petunjuk politik yang salah kepada rakyat Sarawak dan ahli SUPP lain.

Sehubungan itu Abdul Karim berharap SUPP tidak terus memburukkan lagi keadaan dan berhenti bermasam muka dengan mengeluarkan kenyataan berkaitan kehadiran pemimpin itu.

“Terdapat banyak agenda yang lebih besar perlu kita tumpukan dan bukannya memperbesarkan perkara seperti ini.

“Malahan untuk pengetahuan umum juga termasuk semua penyokong SUPP, bahawa SUPP adalah rakan kepada PBB,” katanya sambil menegaskan sekali lagi SUPP diharap menghentikan perkara itu dan tidak akan memburukkannya lagi.

Sementara itu Dr Sim dalam kenyataannya turut berkata, SUPP sekeras-kerasnya menolak kemasukan UPP ke dalam BN dan TDC SUPP pada September lepas telah sebulat suara memutuskan perkara itu.

“Malah SUPP akan bertanding di kesemua 19 kerusi yang telah diperuntukkan termasuk kerusi DUN baharu sekiranya diberikan,” ujarnya.

Dr Sim turut memberitahu bahawa SUPP juga akan membawa isu itu kepada Majlis Tertinggi BN untuk dibincangkan.