Sarawak mencipta sejarah

0

Oleh Mahathir Haroun //

Buat pertama kali mesyuarat BAM diadakan di luar Semenanjung Malaysia

KUCHING: Sejarah tercipta buat Sarawak apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) buat pertama kali mengadakan mesyuarat majlis di luar Semenanjung Malaysia, di sini semalam.

Agenda utama mesyuarat tersebut adalah untuk membentuk pemain-pemain pasukan kebangsaan baharu.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berkata badan induk itu kumpulan baharu perlu dibentuk secepat mungkin.

“Kita faham rakyat Malaysia mahu mengetahui sama ada kita memiliki pengganti Datuk Lee Chong Wei atau pengganti yang setanding dengannya.

“Sebagai badan induk, sudah pasti kita mahu mencari pemain-pemain sepertinya dan kita perlu bermula dari sekarang,” katanya.

Menurutnya, setiap persatuan negeri perlu sedar cabaran yang dihadapi BAM pada masa ini.

“Kita berharap pelan konkrit (lengkap) dapat dimuktamadkan selepas mesyuarat ini agar Malaysia kekal sebagai kuasa badminton pada masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Sarawak (SBA) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain berharap Sarawak dapat memainkan peranan dalam pembangunan badminton negara.

Katanya, ekoran penganjuran beberapa kejohanan antarabangsa di negeri ini, lebih ramai anak Sarawak dapat didedahkan dengan permainan menentang pemain-pemain terkenal dunia.

“Tidak timbul keraguan jika pemain-pemain dari Sarawak menjadi pemain terbaik di negara ini suatu hari nanti.

“Namun, kita perlu bekerja keras dan saya percaya SBA menyediakan landasan terbaik untuk pemain-pemain tempatan,” jelasnya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani merasmikan mesyuarat tersebut berkata, BAM perlu mengambil kira pembangunan pemain-pemain muda di negeri ini.

“Kita berharap BAM dapat membantu kita dan menyedari masalah geografi yang dihadapi Sarawak,” katanya.