Usaha bantu pemohon ditolak institusi kewangan

0

Pinjaman perumahan kini lebih mudah dengan skim Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd: Abg Johari

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Kesukaran rakyat mendapat kelulusan pinjaman institusi kewangan bagi membeli rumah kini menjadi mudah selepas kabinet negeri meluluskan penubuhan Skim Pinjaman Perumahan Khas menerusi Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd.

Perkara itu dijelaskan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika berucap pada majlis Majlis Tilawah Al-Quran Antara Skim Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Peringkat Negeri Sarawak 2015, di Surau Darul Nur Hasanah, Taman Sourabaya Indah di sini, malam kelmarin.

Katanya, skim itu berperanan sebagai institusi kewangan yang memberikan pinjaman perumahan kepada pemohon seperti perbankan.

“Ia merupakan inisiatif baharu kerajaan membantu golongan tidak berjaya mendapat kelulusan pinjaman daripada institusi kewangan,” katanya.

Abang Johari menjelaskan, inisiatif tersebut dilancarkan memandangkan ramai rakyat tidak layak mendapat pinjaman bank berikutan kriteria ketat selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Kita berterima kasih kepada kabinet negeri kerana meluluskan permohonan bagi membangunkan institusi kewangan kita sendiri yang bertindak sebagai pemberi pinjaman kepada rakyat yang berhasrat mahu membeli rumah tetapi permohonan pinjaman ditolak atas faktor tertentu.

“Justeru, dengan adanya skim pinjaman seumpama ini, ia dapat membantu kumpulan sasaran ini membiayai pinjaman beli rumah,” katanya.

Menurutnya, Mutiara  Mortgage & Credit Sdn Bhd kini mempunyai modal awal berjumlah RM14 juta untuk dipinjamkan kepada rakyat.

Pada masa sama, beliau menasihat pemohon yang memohon pinjaman perumahan daripada Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd supaya menanam sikap berdisiplin dalam membayar balik pinjaman mereka.

Selain itu, beliau yang juga Menteri Pelancongan berkata, HDC turut merancang membangun dan membina sejumlah 3,508 unit rumah mampu milik dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini di beberapa kawasan utama di negeri ini.

Projek ini, kata Abang Johari, bertujuan mengawal situasi harga pasaran rumah yang semakin mahal sejak beberapa tahun lalu.

“Kementerian melalui HDC kini mengganda usaha membangunkan perumahan mampu milik agar setiap rakyat mampu memiliki rumah serta menampung keperluan golongan berpendapatan rendah yang sukar membeli rumah di pasaran terbuka,” jelasnya.

Antara lain, kerajaan turut memperkenal beberapa skim perumahan lain termasuk Skim Rumahku untuk rakyat berpendapatan sekitar RM3,000 sehingga RM5,000, Skim Rumah Belia yang mengutamakan pemohon telah berkahwin serta skim perumahan perkhidmatan awam supaya  dapat memiliki rumah di kawasan berdekatan tempat bekerja.

Katanya, HDC mencari pelbagai kaedah baharu supaya diperbanyakkan pemilikan rumah mampu milik dengan harapan supaya harga pasaran rumah lain akan turun.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif HDC Wan Mohd Yusop Wan Moss.