Enam kejadian tanah runtuh di Padawan dan Penrissen

0

BENCANA: Runtuhan tanah di Jalan Puncak Borneo.

KUCHING: Sebanyak enam kejadian tanah runtuh berlaku di sekitar kawasan Padawan dan Penrissen semalam ekoran hujan tanpa henti sejak beberapa hari lalu.

Runtuhan melibatkan tiga jalan raya dan tiga rumah di kawasan berasingan.

Runtuhan jalan raya berlaku di Jalan Puncak Borneo (antara Kampung Karu dan Kampung Bayur), Jalan Kampung Sibuang-Kampung Simuti-Kampung Sibakar dan Jalan Kampung Begu.

Manakala runtuhan yang hampir menimbus tiga rumah berlaku di Kampung Sigandar, Kampung Timurang dan Kampung Simuti.

“Kami bernasib baik kerana runtuhan tidak menimbus rumah kami dengan teruk,” kata Frankie Kirup, 23, ketika ditemu bual semasa tinjauan Utusan Borneo ke rumahnya di Kampung Sigandar, semalam.

Menurut Frankie, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga masih tidur.

“Kami cuma menyedari runtuhan selepas bangun tidur… saya menjangkakan runtuhan berlaku pada waktu awal pagi,” katanya.

Namun demikian, Frankie berkata mereka sekeluarga tidak akan berpindah keluar buat sementara waktu dari rumah berkenaan dengan harapan runtuhan tidak semakin teruk.

Tambahnya, runtuhan tanah tersebut juga sudah dibersihkan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Rangen Jamang turut mengesahkan semua kejadian runtuhan tanah tersebut.

Menjelas lanjut, beliau berkata runtuhan jalan raya paling teruk berlaku di Jalan Kampung Sibuang-Kampung Simuti-Kampung Sibakar dan di Jalan Kampung Begu.

“Runtuhan di Jalan Kampung Sibuang-Kampung Simuti-Kampung Sibakar menyebabkan laluan kenderaan terputus dan penduduk di ketiga-tiga kampung telah terkandas tanpa dapat pergi ke mana-mana.

“Manakala di Jalan Kampung Begu, tanah telah termendap menyebabkan berlaku runtuhan/lubang di tengah-tengah jalan dan menyukarkan kenderaan untuk melaluinya,” katanya ketika dihubungi.

Berhubung runtuhan yang menjejaskan tiga rumah, Rangen berkata ia membahayakan keselamatan penghuni setiap rumah terbabit selain hampir menumbangkan tiang elektrik yang berdekatan.

“Semua kejadian ini dilaporkan berlaku pada pagi semalam,” katanya.

Selain itu, Rangen berkata hujan semalam turut menyebabkan beberapa kampung di Padawan mengalami banjir.

Antaranya, menurut beliau ialah di Teng Bekap, Kampung Sira dan Kampung Simpok.

“Banjir paling teruk berlaku di Kampung Simpok dengan menjejaskan kira-kira 20 rumah dan di Kampung Sira melibatkan lima rumah.

“Manakala banjir di Teng Bekap menjejaskan klinik kesihatan di situ,” katanya.

Justeru, Rangen berkata beliau telah memaklumkan mengenai semua kejadian tanah runtuh dan banjir kepada pihak berkuasa berkaitan untuk bantuan dan tindakan lanjut.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan terus memantau keadaan di sekitar Padawan termasuk Penrissen bagi memastikan kawasan-kawasan terjejas sama ada oleh tanah runtuh atau banjir mendapat bantuan segera daripada pihak berkuasa.