Pengalaman pisahkan Lee Hyun, Jeon Hyeok

0

KUCHING: Pengalaman luas yang dimiliki Lee Hyun Il memberi kelebihan kepada bekas pemenang pingat emas Sukan Olimpik itu dengan kemenangan ke atas pemain muda Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin dalam pertarungan tiga set perseorangan lelaki.

Lee kalah set pertama 19-21 sebelum memperkemas permainan untuk menang dua set seterusnya dengan 21-13, 21- 15 dalam masa 55 minit untuk muncul juara Kejohanan Badminton Yonex Sunrise Malaysia Masters di Stadium Perpaduan, semalam.

Sebelum layak ke final, Lee mengalahkan Tanongsak Saensomboonsuk pada separuh akhir dan Mohamad Arif Abdul Latif pada suku akhir.

Pada November lalu, Lee merangkul juara Kejohanan Badminton Maybank Malaysia Kuching International Challenge.

Bercakap kepada pemberita, Lee ternyata tidak percaya dengan kejayaan yang diraih kerana kebanyakan pemain berada pada ranking terbaik dunia.

“Saya gembira dengan kejayaan ini selepas turut menang di sini pada tahun lalu,” katanya.

Pilihan pertama dari Denmark, Christinna Pedersen dan Kamilla Rytter Juhl ternyata tiada tandingan apabila mudah mengalahkan pasangan Jepun, Naoko Fukuman dan Kurumi Yonao dalam bergu wanita.

Christinna dan Kamilla hanya mengambil masa 46 minit untuk menang 21-14, 21-14.

Nozomi Okuhara pula membawa sinar kepada Jepun dengan kemenangan 21-13, 21-17 menentang rakan senegara Sayaka Takahashi.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem turut hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama Presiden Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain.