Sarawak sedia hadapi Liga M

0

JERSI BAHARU: Sudarsono dan pengurusan FAS bersama barisan pemain pasukan Sarawak 2015 dengan jersi baharu di Kuching semalam.

Sokongan padu daripada peminat amat diharapkan untuk tingkatkan semangat pemain

KUCHING: Jersi baharu Sarawak untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) 2015 dilancarkan semalam di CityONE Megamall, di sini dengan dihadiri ribuan penyokong setia Ngap Sayot.

Pada majlis tersebut, semua pemain Sarawak diperkenalkan kepada penyokong termasuk empat pemain import iaitu Billy Mehmet, Ryan Griffiths, Ivan Fatic dan Ronald Hikspoors.

Sebanyak lima variasi jersi diperkenalkan termasuk untuk perlawanan tempat sendiri, tempat lawan, jersi ketiga, penyokong dan penjaga gol.

Jersi Starsport itu menggabungkan rekaan klasik Sarawak dengan sentuhan cetakan berapi 2D pada bahagian bawah berwarna merah dan biru manakala jersi ketiga warna kuning.

Penjaga gol turut mempunyai tiga variasi warna merangkumi hijau, ungu dan merah jambu.

Dengan menggunakan bahan ‘Cool-Dry’, jersi tersebut memberi keselesaan kepada pemain-pemain ketika beraksi di padang.

Jersi tersebut dijual di semua 22 premis Lea Sports Centre dan menerusi ‘online’ di LSConline.com.my.

Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman pengenalan jersi dan pemain-pemain baharu membuktikan Sarawak sudah bersedia menghadapi Liga M.

“Semua pemain pada hari ini adalah ‘hero’ yang kita harapkan untuk membawa kejayaan buat Sarawak,” katanya.

Sudarsono turut mengharapkan sokongan berterusan peminat pada musim ini untuk meningkatkan semangat pemain.

“Saya berterima kasih kepada semua kelab penyokong sebelum ini dan berharap sokongan padu terus diberikan kepada pasukan Sarawak,” katanya.