Jangan biar Lorna tercicir

0

Oleh Watt Zacchaeus//

 

BANTU KAMI: Ramie (kiri) bersama Lorna yang mengharapkan bantuan ramai demi hasrat anaknya yang ingin bersekolah.

SIBU: Sayu, hiba dan kelu lidah melihat Theresa Lorna Ramie, 7, yang ingin memasuki alam persekolahan seperti kanak-kanak sebaya dengannya.

Namun, apakan daya buat Ramie Medan, 33, apabila permohonan anaknya ditolak untuk bersekolah di tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Parish, Balingian.

Ini kerana Ramie tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil lahir, sekali gus menyebabkan status kewarganegaraan sijil lahir Lorna tidak dapat disah serta dianggap tidak lengkap oleh pihak sekolah lalu gagal mengikuti sesi persekolahan tahun ini.

Anak terbabit hanya mengharapkan Pondok Tuisyen Komuniti Percuma Balingian di Kampung Lintang, Balingian kira-kira 63 kilometer dari bandar Mukah untuk menimba ilmu.

“Setiap pagi, Lorna bangun seawal jam 6 pagi bertanyakan bila dia boleh pergi ke sekolah. Kemudian, dia tanya kenapa rakan-rakan sudah bersekolah sedangkan dia masih belum sekolah.

“Inilah soalan sering menjadi pertanyaan Lorna kepada saya dan guru tuisyennya. Kami tidak tahu macam mana memenuhi permintaannya. Dia seorang anak yang rajin dan mahu bersekolah.

“Setelah diberitahu kenapa dia belum boleh ke sekolah, dia kemudian faham tetapi saya seolah-olah berasa bersalah terhadapnya,” luah Ramie, semalam.

Pondok Tuisyen Komuniti Percuma Balingian itu diusahakan seorang suri rumah, Nur Asy Syuura Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mak Su.

Menurut Ramie, Lorna sering datang ke pondok tuisyen tersebut semata-mata mahu belajar seperti pendidikan formal di sekolah.

“Biasanya, pondok tuisyen itu hanya dibuka pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad tetapi disebabkan dia begitu bersemangat untuk bersekolah, Mak Su terpaksa mengajarnya seperti di sekolah bagi memenuhi hasratnya.

“Pondok tuisyen diusahakan Mak Su adalah khas untuk murid-murid miskin di Kampung Lintang dan percuma. Segala bahan rujukan dan sebagainya digunakan semasa tuisyen disediakan dengan percuma untuk murid-murid,” ujarnya.

Bercerita lanjut mengenai latar belakangnya, Ramie berkata dia berasal dari Kanowit dan sudah tidak lagi hidup bersama suaminya (ayah Lorna).

Sebelum itu, dia menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga di Kanowit dan gagal membuat sijil lahir seterusnya kad pengenalan.

“Ini disebabkan orang zaman dahulu tidak kisah tentang soal kepentingan kad pengenalan atau sijil lahir.

“Bila ibu dan ayah angkat saya meninggal dunia, saya kembali semula kepada keluarga asal. Saya kemudian berkahwin dengan ayah Lorna, namun jodoh kami tidak berpanjangan semasa Lorna masih dalam kandungan.

“Kemudian saya berkahwin dengan suami baharu berasal dari Kampung Lintang, Balingian sehingga kini,” katanya.

Ramie berkata, sebelum ini beliau pernah cuba membuat sijil lahir dan kad pengenalan sebanyak tiga kali di Kanowit, namun permohonannya ditolak kerana gagal mengumpul semua adik-beradiknya seramai 10 orang sebagai bukti.

“Saya bercadang memohon sijil lahir dan kad pengenalan di Balingian atau Mukah dalam masa terdekat demi anak saya yang mahu bersekolah,” jelasnya.

Ramie berkata, sebelum ini Lorna pernah mengikuti prasekolah SK Sungai Pasai (Sibu) semasa umurnya lima tahun dan kemudian berpindah ke SK Pedai (Kanowit) ketika berusia enam tahun.

“Semasa saya masih bekerja di Sibu, Lorna dihantar ke SK Sungai Pasai dan kemudian ke SK Pedai di Kanowit mengikut makciknya, iaitu adik saya. Dia boleh bersekolah di kedua-dua sekolah tersebut atas jaminan tuai rumah.

“Tetapi, apabila saya membawanya berpindah mengikut suami baharu di Kampung Lintang, Balingian, lain pula ceritanya. Permohonannya tidak diluluskan di SK Parish, Balingian meskipun melalui proses sama,” katanya.

Justeru, Ramie memohon pihak berkenaan supaya dapat mencari ikhtiar serta membantunya agar Lorna boleh pergi ke sekolah seperti kanak-kanak lain.

“Hari-hari Lorna merayu kepada saya supaya dia boleh bersekolah. Dia sering membawa saya berjumpa Mak Su untuk membantunya agar dia dapat bersekolah.

“Saya hanya mampu menitiskan air mata kerana selain itu, saya tidak mampu melakukan apa-apa. Lorna hanya ingin bersekolah dan saya tidak meminta apa-apa cuma ingin melihat dia masuk ke sekolah seperti kanak-kanak lain demi masa depannya,” jelasnya.

Sementara itu, kisah Lorna mendapat perhatian luas dan menjadi viral utama media sosial selepas Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (PEBEDAS) berkongsi luahan Mak Su mengenai masalah Lorna menerusi Facebook semalam.