Serangan darah tinggi terbanyak

0

Oleh Mastura Ismail//

 

TURUN PADANG: Fatimah ketika berada di pusat pemindahan banjir Dewan Kampung Bidang, Limbang semalam.

LIMBANG: Serangan darah tinggi dicatat kes paling tinggi dihidap mangsa banjir di pusat pemindahan di Sarawak seperti yang direkod Jabatan Kesihatan Negeri.Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, faktor risau mengenangkan rumah rosak dan ditinggalkan akibat banjir menyebabkan serangan itu berulang dan berlaku di pusat pemindahan banjir.

Justeru, jelasnya program pengisian aktiviti perlu dijalan di pusat pemindahan banjir yang ada di negeri ini bagi memastikan setiap mangsa tenang dan melupakan perasaan risau sepanjang musibah berlaku.

“Kita cadangkan agar sukarelawan dan agensi berkaitan melakukan program pengisian termasuk berdoa agar mangsa banjir dipelihara daripada musibah dan mendapat ketenangan jiwa,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Bidang, semalam.

Fatimah menjelaskan, selain itu pertandingan melukis untuk kanak-kanak, ceramah pendidikan kesihatan termasuk aktiviti keagamaan perlu diadakan di pusat pemindahan banjir supaya mangsa tidak berasa masa berlalu.

Beliau berkata, senaman kesihatan dan kauseling juga amat penting untuk dilaksana bagi memberi jaminan kesihatan terbaik kepada mangsa banjir di setiap pusat pemindahan.

“Pengisian aktiviti di pusat pemindahan perlu diberi perhatian supaya mangsa tidak bosan dan risau mengenangkan rumah ditinggalkan dan harta benda rosak,” katanya.

Jelasnya, kementeriannya masih menunggu berita baik daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung bantuan mangsa banjir di negeri ini.

“Kita masih menunggu keputusan MKN mengenai berapa banyak dan bila bantuan banjir akan diberikan kepada mangsa. Kita harap MKN akan memberi pertimbangan relevan kepada mangsa banjir yang rosak teruk tanaman, kematian haiwan ternakan dan rumah ditenggelami air,”jelasnya.

Ditanya mengenai sembilan sekolah rendah (SK) di daerah ini yang masih ditutup sehingga semalam akibat banjir katanya, guru di sekolah terbabit akan mengadakan hari gantian sekolah ditutup kerana mereka ada garis panduan sendiri mengenai status sekolah ganti.

“Apa yang penting adalah keselamatan anak kita. Kita harus bersama-sama berharap supaya air surut dan lebih banyak sekolah akan beroperasi semula,”ujarnya lagi.