Berita gembira buat Kpg Mambong

0

Kerajaan mulakan pembinaan 20 rumah di kawasan penempatan semula

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Kerajaan negeri memulakan pembinaan 20 buah rumah di bawah Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) untuk mengurangkan penderitaan penduduk Kampung Mambong yang dirundung masalah debu.

Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil berkata, pihaknya sebelum ini mengambil masa yang lama untuk melaksanakannya disebabkan kesulitan dari segi peruntukan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk penduduk kampung kerana selama ini mereka bersabar. Atas keprihatinan pihak kerajaan semuanya bersetuju untuk memberi peruntukan agar penempatan semula ini tidak tergendala lagi.

“Diharap menjelang penghujung tahun ini, rumah berkenaan akan siap dan boleh diduduki oleh penduduk kampung dengan prasarana asas turut disiapkan,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penanaman Cerucuk Tanah di Penempatan Semula Kampung Mambong, semalam.

Penempatan itu, jelasnya, juga disebabkan tanah mereka diambil alih pihak swasta untuk pembangunan loji memproses simen sebagai bahan binaan.

Beliau memberitahu, rancangan itu telah lama dibuat tetapi pelbagai isu timbul dan merumitkan.

Kelewatan itu juga akibat ketidaksesuaian tapak penempatan, namun segalanya selesai selepas Penghulu bersama tiga lagi pemilik tanah menyerahkan tanah mereka selepas pampasan dibayar dan diukur oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei, jelasnya.

“Penempatan baharu berkenaan merupakan tapak yang sesuai kerana berdekatan dengan kampung asal walaupun merupakan penanaman tapak sawah padi.

“Tanah telah ditimbus dan cerucuk telah ditanam dengan peruntukan khas yang bukan disediakan oleh pihak SPNB, namun diusahakan atas nasihat Housing Development Corporation (HDC) sebelum ini,” jelasnya.

Menurut Dr Jerip lagi, pihaknya juga telah menurap sebahagian jalan raya dan menyediakan bekalan air bersih sejak tiga tahun lepas, namun penyambungan wayar elektrik akan dilakukan sebaik selepas projek terbabit selesai.

Setiap lot rumah satu tingkat berkenaan akan dibina di atas sebidang tanah dengan keluasan 25 poin bernilai RM70,000 hingga RM80,000 sebuah.

Tambah beliau, lokasi itu juga indah dengan pergunungan yang menarik dan cantik untuk dijadikan sebagai pusat mendaki batu seperti mana yang dijalankan di Gua Pari-Pari di Bau bagi tujuan ekopelancongan.

“Saya rasa adalah perlu penduduk menjaga kawasan hutan rimba di belakang sana dan ahli jawatankuasa kampung dapat mengelolakan aktiviti memanjat batu sebagai aktiviti ekopelancongan seperti di Gua Pari-Pari, Bau,” katanya.

Turut hadir Temenggung Bidayuh Kawasan Kuching, Austin Dimin dan Penghulu Kampung Mambong John Jentor Sahow.