Dadah: tiga lagi penagih ditahan

0

TANGKAP: Suspek yang disyaki penagih dadah ditahan untuk siasatan lanjut.

PADAWAN: Dua lelaki dan seorang wanita disyaki penagih dadah berjaya diberkas anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dalam satu serbuan kelmarin.

Serbuan yang diketuai Inspektor Jason Baya itu dilakukan ke atas sebuah rumah di Taman Suria, Matang berpandukan maklumat yang diterima daripada orang awam sekitar jam 1.30 petang kelmarin.

Hasil serbuan, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 48 tahun serta seorang wanita berusia 32 tahun dan turut merampas tiub straw yang disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine.

“Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan telah menjumpai tiub straw warna merah disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine dianggarkan seberat 0.30 gram,” kata jurucakap polis.

Ketiga-tiga suspek kemudian dibawa ke IPD Padawan dan disahkan positif Meth/Amp dalam ujian air kencing.

“Suspek juga masing-masing tidak memiliki pekerjaan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” kata jurucakap itu lagi.

Sehingga berita ini ditulis semalam, kesemua suspek masih ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk siasatan lanjut.

“Suspek disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada lima tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berhubung aktiviti pengedaran dadah dengan menghubungi terus Pejabat JSJN IPD Padawan menerusi talian 082-862640.