DAP mahu kerajaan pinda Ordinan Interpretasi 2005

0

KUCHING: Kerajaan negeri perlu meminda Ordinan Interpretasi 2005 untuk secara rasmi dan secara sah memulihkan semula bangsa ‘Dayak’ di bawah undang-undang berkenaan, kata Pengerusi Parti Tindakan Demoktratik (DAP) Negeri Chong Chieng Jen.

Menurut beliau, meskipun baru-baru ini Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah mengumumkan bahawa kini kaum Dayak boleh mengisi borang rasmi kerajaan sebagai ‘Bumiputera Iban,’ ‘Bumiputera Bidayuh’ atau ‘Bumiputera Orang Ulu,’ perkataan Bumiputera tidak sama dengan Dayak.

“Di bawah peruntukan Ordinan Interprestasi 2005, bangsa ‘Dayak’ hanya dibahagikan kepada ‘Iban atau Sea Dayak’ dan ‘Bidayuh atau Land Dayak,’ tetapi secara rasminya, tidak ada bangsa dikenali sebagai ‘Dayak.’

“Begitu juga, untuk melabelkan mereka sebagai ‘Bumiputera Iban’ atau ‘Bumiputera Bidayuh’ dan ‘Bumiputera Orang Ulu’ juga tidak wajar kerana tidak ada bangsa yang dikenali sebagai ‘Bumiputera’,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, semalam.

Tambah Chong, ordinan juga tidak menyatakan spesifik ‘Dayak,’ maka itu untuk melabelkan Dayak sebagai Dayak Iban, Dayak Bidayuh, Dayak Kayan dan sebagainya juga tidak betul.

“Maka itu kita menggesa kepada veteran perundangan, menteri kanan Dayak perlu mengenali ordinan ini dengan lebih baik dan memberikan status sah kepada bangsa Dayak dengan meminda Ordinan Interpretasi 2005.

“Kami DAP juga menggesa kepada kerajaan negeri untuk mengemukakan usul mengenai pindaan Ordinan Inteprestasi 2005 semasa persidangan DUN akan datang, dan jika tidak ada respons maka kami yang akan membentangkan usul ini,” katanya.

Mengulas mengenai gesaan ketua menteri sebelum ini yang mahu rakyat Sarawak mengundi parti politik berasaskan Sarawak sahaja, Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata, ia bukan perkara utama kerana yang penting adalah berjuang untuk rakyat.

“Malahan jika dilihat Barisan Nasional (BN) juga berasal dari Semenanjung kerana sama-sama menggunakan lambang ‘dacing.’

“Maka itu saya juga mencabar kepada BN Sarawak supaya menggunakan simbol lain bagi membuktikan bahawa mereka juga tidak sama dengan Semenanjung,” katanya.