Dua kampung berdepan masalah lumpur, pasir tebal pascabanjir

0

LUNDU: Selepas dilanda banjir tiga hari lepas, penduduk di dua buah kampung terjejas iaitu Kampung Bitokan dan Selampit di sini berhadapan dengan masalah lumpur dan pasir tebal.

Paling teruk pekarangan Kampung Bitokan yang menjadi tempat parkir kenderaan bagi penduduk dari Kampung Selampit tidak dapat dilalui oleh kenderaan kecil selepas air surut.

Prihatin dengan masalah penduduk, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Lundu tampil membantu dalam kerja-kerja pembersihan lumpur dan pasir kelmarin.

Dengan kekuatan sepuluh anggota dan sebuah jentera, kerja-kerja pembersihan telah diketuai sendiri oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lundu, Zainudin Ngatdemon.

Ternyata kehadiran pasukan bomba dalam membantu kerja-kerja pembersihan memudahkan penduduk dalam menjalankan aktiviti harian mereka.

Penghulu Jinep Jiheng berkata, pujian harus diberikan kepada pihak bomba yang bertungkus-lumus membantu penduduk dari masa berlakunya banjir sehingga pasca banjir.

Menurut Jinep, tanpa bantuan pihak bomba beliau percaya mungkin ada dalam kalangan penduduk yang berhadapan dengan situasi yang lebih sukar terutama mereka yang terjejas teruk.

Sementara itu, selain pembersihan lumpur dan pasir, pemantauan kesihatan turut dilakukan di Kampung Bitokan susulan kes denggi minggu lepas.

Sebagai Ketua Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vector Negeri, Billy Sujang berkata beliau akan memastikan prosedur pencegahan penyakit pasca banjir diikuti.

Setiap isi rumah, katanya, perlu memastikan tiada pembiakan nyamuk aedes di sekitar dan di dalam rumah manakala bekas-bekas yang menakung air perlu dimusnahkan.

“Jika ada yang demam selepas banjir ini hendaklah ke klinik kerana sebarang kelewatan boleh mengundang bahaya.

“Hari ini (kelmarin) pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah Lundu masih meneruskan aktiviti pemeriksaan di Kampung Bitokan dan Selampit sehingga tahap kesihatan bertambah baik,” katanya.