Jalan putus akan diberi keutamaan

0

MESRA BELIA: Fadillah bersalaman dengan tetamu pada Simposium Keusahawanan Belia Bumiputera Sarawak 2015 di Auditorium JBS Sarawak di Kuching, semalam.

Banjir: Kerosakan jalan, infrastruktur ditangani Kementerian Kerja Raya

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Masalah kerosakan jalan dan infrastruktur awam lain akibat banjir di negeri ini akan ditangani oleh Kementerian Kerja Raya sama seperti yang dilakukan di Semenanjung Malaysia.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bagi tujuan itu keutamaan akan diberikan kepada jalan yang terputus sepenuhnya dengan membina laluan alternatif bagi membolehkan kerja-kerja membaik pulih dilakukan.

Keutamaan kedua kementerian, menurut Fadillah, ialah jalan yang ada alternatif dan seterusnya semua jalan-jalan yang perlu dibaiki dan dibaik pulih untuk keselesaan dan keselamatan orang ramai.

“Di Sarawak, secara umum Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang semalam (kelmarin) telah melaporkan jumlah kerosakan, tetapi dari segi nilai ia masih dalam penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) termasuk jalan terputus disebabkan keruntuhan terutama di kawasan Padawan menuju ke Puncak Borneo dan beberapa tempat di Limbang dan Lawas serta yang perlu dinaik taraf.

“Bagi jalan yang perlu naik taraf contohnya, jalan yang menghubungkan Limbang ke Tedungan, sempadan Brunei, kita akan gunakan dua pendekatan.

“Pertama naikkan jalan ke paras yang lebih selamat dan membina pembetung bagi mempercepatkan pengaliran air,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Simposium Keusahawanan Belia Bumiputera Sarawak 2015 di Auditorium Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak di sini semalam.

Mengulas mengenai perkembangan banjir di negeri ini, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Sarawak ketika ini berdepan dengan peringkat pertengahan banjir dengan kebanyakan daripada mangsa peringkat awal telah pulang ke rumah masing-masing.

“Di peringkat Sarawak keadaan banjir telah menurun semalam (kelmarin) dan secara keseluruhannya keadaan di sini tidak seteruk dengan apa yang berlaku di Kelantan dan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

“Di Semenanjung Malaysia untuk jalan persekutuan sahaja, jumlah kerosakan dianggarkan RM660 juta dengan 215 cerun terjejas.

“Keseluruhannya untuk infrastruktur awam di bawah bidang kuasa kementerian, jumlah kerosakan dianggarkan RM1.09 bilion termasuk jalan negeri dan jambatan,” jelasnya.

Tambah Fadillah, sebahagian daripada RM45 juta telah diperuntuk bagi tindakan segera seperti membina jalan alternatif untuk semua jalan terputus akibat keruntuhan cerun di Semenanjung Malaysia.

Manakala di Sabah, jalan-jalan negeri yang terputus akibat keruntuhan cerun juga banyak, namun ia masih dalam pemantauan dan jumlah kerosakan hanya akan dimuktamadkan selepas banjir pulih.