M’sia boleh capai Wawasan 2020

0

Jika bersedia kurangkan, berhemah dalam perbelanjaan: Tun Mahathir

CYBERJAYA: Malaysia masih mampu mencapai Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju jika kerajaan bersedia mengurangkan dan berhemah dalam perbelanjaannya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan perlu segera mengenal pasti dan menghentikan projek dan peruntukan tidak perlu dan memberi keutamaan kepada projek yang penting sahaja.

“Saya mencadangkan (kerajaan) agar lebih berhati-hati dalam perbelanjaan.

“Kerajaan perlu meneliti sama ada apa yang ia belanjakan sekarang adalah perlu. Banyak daripada peruntukan itu tidak perlu,” katanya.

Dr Mahathir, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Sumbangan Satu Bilion Dollar Untuk Pembinaan Semula Gaza di Shaftsbury Asteria, di sini semalam.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas bahawa kerajaan akan memotong perbelanjaan operasi sebanyak RM5.5 bilion kepada RM217.94 bilion. Jumlah itu bagaimanapun, tidak termasuk sebarang perbelanjaan tambahan.

Katanya kerajaan telah membuat perancangan, dan dengan strategi yang betul dan kerja keras, negara masih mampu mencapai status negara maju.

Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun berkata dengan peruntukan yang kurang akibat kejatuhan harga minyak global, adalah penting bagi kerajaan untuk memotong perbelanjaan tidak perlu.

“Projek-projek perlu dikenal pasti dan potong sahaja peruntukannya. Kita tahu yang kita tidak ada banyak wang, jadi kita mesti cari cara untuk kurang berbelanja. Apabila kita kaya, kita buat macam orang kaya, dan apabila kita miskin, kita perlu buat macam orang miskin,” katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata beliau melihat wujud reaksi hipokrit antara respons terhadap serangan terhadap majalah satira Charlie Hebdo di Perancis, sedangkan negara-negara Barat tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan pembunuhan ribuan penduduk Palestin.

“Saya bersimpati dengan apa yang terjadi kepada kartunis berkenaan dan saya mengutuk keganasan. Tetapi negara-negara Barat dilihat lupa tentang kira-kira 200,000 orang yang telah dibunuh, rumah dan bandar mereka dimusnahkan di Palestin dan Gaza.

“Sesetengahnya adalah bayi dan kanak-kanak manakala yang cedera kebanyakannya orang tua. Apabila beribu-ribu orang dibunuh, tiada siapa di dunia barat bersedih ataupun menangisi nasib mereka,” kata Dr Mahathir.

Sehubungan itu, beliau menggesa negara-negara Islam untuk kekal bersatu dan berjuang untuk kebebasan bersama, serta merumuskan strategi betul untuk menamatkan penderitaan itu dan terus membantu pembinaan semula Gaza.

“Kita dapat melihat perubahan kuasa apabila beberapa negara Eropah mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka. Kita perlu memanfaatkan ini dengan tidak menyebabkan mereka marah, sebaliknya pupuk persahabatan supaya mereka membantu perjuangan kita dan menukar fikiran mereka,” katanya.

Berhubung sumbangan, Dr Mahathir berkata sumbangan akan disalurkan untuk pembinaan semula infrastruktur di Gaza termasuk sektor kesihatan, perumahan, pertanian, air, pembetungan, bekalan elektrik, telekomunikasi dan pembuatan.

Negara Arab dan Suruhanjaya Antarabangsa bagi Pembinaan Semula Gaza bersama-sama dengan Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia(MySET) dan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) akan bekerjasama dan berkongsi pengetahuan dalam pembinaan semula Gaza bagi membolehkan penduduknya mendapat peluang untuk membina semula kehidupan mereka. — Bernama