Penduduk akhirnya lega selepas 20 tahun bergelumang debu: Penghulu

0

KUCHING: Setelah bergelumang dengan debu selama 20 tahun, akhirnya penghuni 20 buah rumah di Kampung Mambong menarik nafas lega apabila diumumkan bahawa penempatan semula penduduk kampung itu bakal siap menjelang penghujung tahun ini.

Penghulu Kampung Mambong John Jentor Sahow berkata, sebelum ini debu memang memenuhi rumah kediaman mereka yang terletak di kawasan tanah tinggi kampung tersebut.

“Kita sudah tunggu 20 tahun tetapi kita amat bersyukur kerana hari ini (semalam), ia menjadi kenyataan dan majlis pecah tanah sudah dimulakan menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin dengan kebajikan rakyat.

“Sebenarnya, mereka (penduduk) memang marah. Siapa yang tidak marah? Bukan 20 hari atau dua hari, saya selalu beritahu mereka dan berharap mereka bersabar. Siapa yang tidak mahu berpindah?

“Berbanyak terima kasih kepada Datuk Jerip dan kerajaan akhirnya kami mendapat juga apa yang diimpikan. Itu sahaja yang dapat saya katakan,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Menanam Cerucuk di Penempatan Semula Kampung Mambong di Penrissen, semalam.

Menurut John, tanah yang diduduki penduduk kampung telah dibayar pampasan oleh pihak kilang simen di kawasan itu.

Namun, disebabkan desakan penduduk tidak mempunyai rumah maka pihaknya terpaksa menunggu dan mengabaikan keadaan rumah yang kelihatan daif dan bocor di bahagian atap.

Pihak Jawantankuasa Penempatan Semula Kampung Mambong sebelum ini mengadakan banyak mesyuarat serta perbicangan bersama pihak berkenaan berhubung masalah debu kerana gusar akan tahap kesihatan penduduk.

Bagaimanapun, menurut John, keadaan menjadi semakin baik sejak kebelakangan ini.

“Debu tak usah cakaplah, tebal itu kalau kita tidak cuci setiap hari. Tidak tahu bagaimana.

“Boleh tengok keadaan kereta-kereta di kawasan ini teruk (akibat debu), tetapi tiada apa yang boleh dilakukan selain menyuarakan hal ini kepada pihak berkenaan,” tegasnya.