Shabery gesa sokongan ASEAN pemantauan penerbangan tepat masa

0

BANGKOK: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa negara anggota ASEAN agar menyokong usaha Malaysia bagi pelaksanaan pengesanan penerbangan tepat masa peringkat global.

Beliau berkata demikian pada mesyuarat Telekomunikasi ASEAN dan Menteri-Menteri IT (TELMIN) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) yang berlangsung di sini sempena ASEAN TELMIN ke-14 dan Mesyuarat Berkaitan.

“Saya pernah utarakan perkara ini sebelum ini, tetapi saya akan utarakannya sekali lagi; bahawa kecanggihan teknologi ketika ini patut digunakan untuk menghantar data penerbangan daripada pesawat, termasuk daripada kotak hitam, secara tepat masa.

“Dengan kemajuan dalam ICT ketika ini, seharusnya ia boleh menerima dan menganalisis data ini tanpa perlu menunggu kotak hitam dikesan terlebih dahulu,” katanya.

Shabery berkata daripada pesawat, termasuk daripada kotak hitam, sepatutnya boleh menghantar data secara berterusan dan disimpan dalam pusat data di daratan.

“Malahan orang biasa pun tahu bahawa teknologi komunikasi telah mencapai kemajuan drastik dalam tempoh lima tahun lepas. Tetapi dalam konteks ini, tidak banyak yang berubah terhadap kisah kotak hitam sejak 60-an,” katanya.

Shabery mengambil perhatian bahawa tragedi AirAsia Indonesia Penerbangan  QZ8501 telah membawa kepada keperluan pemantauan tepat masa terhadap data penerbangan.

“Syukur, kotak hitam AirAsia Indonesia telah ditemukan, tetapi ia mengambil masa beberapa minggu dan menggunakan sumber yang begitu banyak,” katanya.

Gesaan oleh Malaysia itu telah mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat antarabangsa sejak Shabery pertama kali membangkitkannya pada Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2014 di Dubai tiga minggu selepas pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac, 2014, dan usaha mencari pesawat itu masih diteruskan.

Perkara itu telah mendapat perhatian dan sokongan di Asia Pasifik dan bahagian lain dunia sehingga mendorong agenda itu diketengahkan ke peringkat global.

Ini membawa kepada satu resolusi diluluskan pada Persidangan Penuh ITU  2014 di Busan Oktober lepas berhubung Pengesanan Penerbangan Global bagi Penerbangan Awam.

Resolusi itu mengarahkan, antara lain, Persidangan Komunikasi Radio Dunia (WRC) untuk memasukkan dalam agendanya, sebagai perkara mendesak, pertimbangan bagi pengesanan penerbangan global, jika sesuai, dan konsisten dengan amalan ITU.

“Malaysia berterima kasih kepada negara anggota ASEAN atas sokongan mereka selama ini, dan berharap mereka akan menyertai kami sekali lagi dalam mengetengahkan perkara ini pada WRC 2015. Kami percaya ICT boleh terus dimanfaatkan untuk menyelamatkan nyawa,” kata Shabery.

Delegasi Malaysia pada ASEAN TELMIN termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Seri Dr Halim Shafie serta pegawai kanan kementerian dan SKMM. — Bernama