Abdullah mahu Kim Swee tumpukan sepenuh perhatian hadapi Sukan SEA 2015

0

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu bekas jurulatih skuad Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee memberi tumpuan sepenuh kepada persediaan menghadapi temasya Sukan SEA Singapura 2015, Jun ini.

Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah Kim Swee sepatutnya tidak berdepan dengan masalah membentuk skuad bawah 23 tahun ke Sukan SEA kerana dia masih terikat kontrak dengan FAM sehingga Disember ini.

“Tugas beliau adalah mencari pemain muda berpontensi sebanyak yang mungkin dan bukan tertumpu pada satu pasukan sahaja.

Saiz skuad bawah 23 tahun perlu diperbesarkan.

“Beliau perlu melakukan lebih banyak kerja…  lebih besar kelompok pemain lebih baik lagi.

Saya percaya beliau (Kim Swee) tahu menjalankan tugasnya,” titah baginda kepada pemberita di sini kelmarin.

Pada Disember lepas, FAM memberi Kim Swee peranan baharu sebagai pencari bakat skuad bawah 23 tahun ke Sukan SEA selepas skuad kendaliannya, Harimau Muda A digabungkan dengan skuad Harimau Muda B kendalian Razip Ismail.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah menyifatkan sistem Harimau Muda masih relevan dengan perkembangan bola sepak negara namun meminta program berkenaan diuruskan dengan lebih fleksibel.

“Bagi saya kita perlu kekalkan Harimau Muda tetapi perlu ada fleksibliti, program ini satu usaha yang baik namun pemain tidak boleh terlalu terkongkong… jangan himpun mereka untuk sepanjang tahun,” titah baginda ketika mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang melihat sistem berkenaan sudah tidak relevan.

Sementara itu, Tengku Abdullah menegaskan hukuman pengantunggan semusim kepada mana-mana pemain yang melanggar kontrak dengan pasukan sedia ada adalah satu cadangan sahaja.  — Bernama