Alberts tidak resah Sarawak kecundang

0

KUCHING: Tumpas tipis 2-1 di tangan Selangor PKNS dalam perlawanan persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang kelmarin tidak meresahkan ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

Alberts berkata, perlawanan tersebut lebih kepada memilih barisan kesebelasan terbaik bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bermula awal bulan depan.

Bagaimanapun, menurutnya, benteng tengah agak rapuh pada separuh masa pertama sehingga menyebabkan PKNS mendominasi bahagian tengah.

“Keadaan agak tidak baik pada separuh masa pertama, namun ia dapat diatasi pada separuh masa kedua dengan kita menguasai perlawanan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Gol tunggal Sarawak dijaringkan oleh Shreen Tambi pada separuh masa kedua.

Penggendali dari Belanda itu tetap optimis benteng tengah Sarawak mampu bertindak lebih baik pada saingan sebenar nanti.

“Kita masih mengenal pasti barisan terbaik untuk mengemudikan semua posisi,” katanya.

Selepas ini, Sarawak akan menguji skuad Jang (Negeri Sembilan) pada 27 Januari ini sebelum berdepan dengan KL SPA Putrajaya pada 30 Januari.