Cadangan Hari Tanpa Beg Plastik di Melaka dapat sambutan baik

0

MELAKA: Pelbagai pihak memberi maklum balas menggalakan mengenai cadangan kerajaan negeri untuk mengadakkan Hari Tanpa Beg Plastik tahun depan.

Mereka berpendapat cara itu yang akan dilaksanakan pada setiap hari dapat mengelak pencemaran alam daripada pembuangan bahan plastik.

Buat masa ini Hari Tanpa Beg Plastik dilaksanakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam Malaysia, Datuk Zaini Md Nor berkata ia turut berupaya mengurangkan penggunaan bahan plastik.

“Bukan hanya pasar raya, pihak perniagaan lain seperti kedai runcit dan pasar malam perlu menghentikan penggunaan beg plastik yang bahan itu sukar dan mengambil masa lama untuk dilupuskan.

“Pada masa sama budaya membawa beg sendiri untuk membeli-belah perlu disemaikan dalam kalangan pengguna,” kata Zaini yang juga Pengurus Besar Yayasan Melaka.

Beliau turut mencadangkan agar pihak pasar raya dan peniaga memberi ganjaran atau diskaun kepada pembelian barangan menggunakan beg sendiri.

“Caj 20 sen yang dikenakan kepada pembeli yang masih mahukan beg plastik perlu dihentikan,” tambahnya.

Sementara itu aktivis pengguna Muhammad Sha’ani Abdullah berkata penggunaan beg kertas bagi menggantikan beg plastik juga tidak dapat mengurangkan pencemaran.

“Selain menambah bahan buangan, penggunaan beg kertas secara tidak langsung membawa kepada penebangan lebih banyak pokok. Inisiatif paling berkesan ialah dengan membawa beg sendiri atau menggunakan beg kitar semula yang lebih mesra alam,” katanya yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional.

Muhammad Sha’ani berkata selain itu pihak kilang perlu turut mengurangkan pengeluaran bahan bungkusan plastik.

Pelajar universiti Nur Athira Hamzah, 24, berkata orang ramai perlu bersedia untuk menggunakan beg yang lebih mesra alam.

Bagi warga Kemboja, Abdul Rahman, dia lebih suka menggunakan kotak untuk mengisi barangan yang dibeli.

Sesetengah pasar raya didapati menyediakan kotak terpakai untuk menggalak orang ramai membawa barangan yang dibeli. — Bernama