Keadaan banjir di Sarawak bertambah baik

0

KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak setakat jam 4 petang semalam bertambah baik dan terkawal dengan hanya lapan pusat pemindahan masih aktif di seluruh negeri.

Kenyataan akhbar dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak semalam memberitahu, seramai 1,099 mangsa daripada 344 keluarga ditempatkan di lapan pusat pemindahan tersebut.

Jumlah mangsa dan pusat pemindahan menunjukkan penurunan berbanding kelmarin (Sabtu) iaitu seramai 1,924 orang ditempatkan di 10 pusat pemindahan di seluruh negeri.

“Secara umumnya keadaan bencana banjir di Sarawak dalam keadaan terkawal dan bertambah baik.

“Sebanyak lapan pusat pemindahan dibuka iaitu dua di Samarahan yang menempatkan 490 mangsa daripada 155 keluarga, Mukah satu (66 mangsa daripada 18 keluarga), dua pusat pemindahan di Miri (83 mangsa daripada 24 keluarga) dan tiga lagi di Limbang (460 mangsa daripada 147 keluarga,” jelas kenyataan akhbar itu.