Lebih lapan jam padamkan kebakaran

0

SUKAR: Kebakaran besar yang mengambil masa lebih lapan jam untuk dipadamkan.

BERTUNGKUS-LUMUS: Usaha memadamkan kebakaran sedang dijalankan.

Anggota bomba berhempas-pulas memadam kebakaran di kilang penyimpanan minyak pelincir di Taman Perindustrian Demak Laut 

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Bomba terpaksa berhempas-pulas selama lebih lapan jam untuk memadam kebakaran di sebuah kilang penyimpanan minyak pelincir di Taman Perindustrian Demak Laut di sini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Penolong Penguasa Bomba Kanan (PgKB) I Tiong Ling Hii berkata, hasil soal siasat saksi di tempat kejadian, kebakaran dipercayai bermula dari pejabat kilang tersebut pada jam 11.15 malam namun bomba hanya menerima panggilan pada jam 12.12 pagi iaitu kira-kira selepas 57 minit kebakaran berlaku.

Jelasnya, keadaan api yang sudah hampir memusnahkan gudang tersebut ditambah lagi dengan bahan mudah terbakar menyukarkan lagi kerja pemadaman dilakukan.

“Meskipun kami menggunakan semburan air buih untuk mengawal kebakaran, ia tidak efektif kerana bahan bakar telah ditutupi atap yang runtuh.

“Bomba juga menghadapi masalah tekanan air rendah yang turut menjejaskan operasi memadam,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kebakaran yang memusnahkan gudang penyimpanan minyak pelincir dan pejabat itu hanya dapat dikawal sepenuhnya pada jam 7.30 pagi.

Tiong turut mengesahkan, tidak ada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

“Nilai kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit namun belum mendapat anggaran yang tepat,” katanya sambil menambah, punca kejadian masih disiasat.

Balai bomba yang terlibat ialah Kuching, Petra Jaya bersama Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS), Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Unit Forensik Kebakaran yang disokong oleh kekuatan 35 anggota.

Turut hadir, Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat Sarawak PgKB I Farhan Sufyan Borhan, Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Christus Buson dan Pegawai Zon Kuching Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Tawang Lingem.