Lelaki lemas dalam saluran air kolam

0

LEMAS: Mayat mangsa dimasukkan ke dalam beg mayat sebelum diserahkan kepada polis.

BAU: Seorang warga Indonesia yang dikhuatiri lemas, ditemui tersangkut dalam saluran air kolam menternak ikan di Jalan Lama Bau-Kuching di sini, malam kelmarin (Sabtu).

Menurut Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching Penolong Penguasa Bomba Kanan (PgKB) I Tiong Ling Hii, bomba terpaksa mencari alternatif lain untuk mengeluarkan mangsa apabila usaha menarik keluar lelaki berusia 31 tahun itu terlalu bahaya kerana arus air yang begitu deras.

Katanya pasukan mencari dan menyelamat kemudian memasang jaring bagi menghalang mangsa yang hanya dikenal pasti sebagai Khusnady daripada hanyut dibawa arus sungai yang deras.

“Kami terpaksa menggunakan jengkaut untuk mengorek tanah bagi mengeluarkan mangsa yang tersangkut dalam lubang tersebut,” katanya.

“Operasi berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam saluran air kolam. Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

Punca kejadian bagaimanapun, tidak diketahui. Difahamkan, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.