Limbang masih banjir

0

DIPINDAHKAN: Bayi berusia lapan bulan yang menghidap jangkitan paru-paru dibawa oleh ayahnya sambil diiringi ibunya serta anggota bomba yang memikul tangki oksigennya, meredah banjir sedalam lebih dua kaki untuk dipindahkan ke tempat selamat.

Tujuh rumah panjang di Kubong, Limbang terputus hubungan selepas jalan menghubungkannya dengan jalan raya utama dinaiki air.

LIMBANG: Tujuh rumah panjang di kawasan Kubong terputus hubungan selepas jalan yang menghubungkan semua rumah panjang terbabit dengan jalan raya utama dinaiki air dengan paras air meningkat sehingga lebih dua kaki di beberapa kawasan rendah.

Kawasan Kubong yang terletak lebih 30 kilometer dari sini merupakan kawasan baharu yang dilanda banjir di sini, bermula semalam.

Tujuh rumah panjang yang terjejas itu ialah Rumah Sengat, Rumah Bujang, Rumah Simbau, Rumah Semabat, Rumah Mangi, Rumah Bakat dan Rumah Pengangan dengan ketujuh-tujuh jalan masuknya dinaiki air selepas hujan turun secara berterusan sejak malam kelmarin (Sabtu).

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat terpaksa menggunakan dua bot bomba bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) juga menggunakan dua bot mereka dan lori untuk memindahkan mangsa yang terjejas ke tempat selamat.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong memberitahu bahawa beliau dimaklumkan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, sehingga petang semalam seramai 40 mangsa berjaya dipindahkan ke tempat selamat.

Antara yang turut dipindahkan oleh pasukan penyelamat semalam ialah seorang bayi berusia lapan bulan yang menghidap jangkitan paru-paru dengan anggota bomba turut membawa bersama tangki oksigen untuk keperluan rawatan bayi terbabit.

Turut dipindahkan segera semalam ialah seorang lelaki kaum Penan yang menghidap penyakit jantung.