Meriahkan ‘Aussie Sausage Sizzle’ di Curtin hari ini

0

MIRI: Berikutan kejayaan ‘Aussie Sausage Sizzle’ yang dianjurkan buat kali pertama kalinya tahun lepas, Curtin University Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) sekali lagi akan menganjur aktiviti sama yang dijangka disertai 300 kakitangan sempena Australia Day 2015, pada hari ini (26 Januari).

Selain kakitangannya, ahli majlis Curtin Sarawak, pegawai kerajaan tempatan dan wakil Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur turut serta menjayakannya.

Aktiviti itu menampilkan program barbeku ala-ala Australia yang disediakan kakitangan Curtin Sarawak, diselit muzik dan hiburan TV Australia dan gerai menjual cenderamata yang bertemakan negara tersebut.

Pada tahun lepas, acara itu disertai lebih 250 kakitangan dan ahli keluarga masing-masing serta beberapa tetamu jemputan termasuk Pengerusi Majlis Curtin Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Kaunselor (Pendidikan) di Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur Kate Welsh dan kakitangan Teby International School Miri.

Sementara itu, Profesor Mienczakowski (warga Australia) berkata beliau gembira dengan penganjuran itu sebagai pembuka tirai memulakan tahun baharu di Curtin Sarawak.

Katanya ia sekali gus memaparkan pelbagai budaya di Australia dan jalinan hubungan baik antara republik itu dan Malaysia.

“Kami amat berbangga kerana Curtin Sarawak merupakan salah satu kampus cawangan luar negara pertama ditubuh di Malaysia.

Tambahnya, program ‘Aussie Sausage Sizzle’ adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan antarabangsa dalam kalangan 3,600 pelajar dari lebih 40 negara di samping 400 kakitangan dari 15 negara.

Australia Day disambut setiap 26 Januari bagi memperingati kedatangan Armada Pertama iaitu 11 kapal banduan dari Great Britain dan kibaran bendera Union Jack di Sydney Cove oleh Kapten Komandernya Arthur Philip pada 1788.

Di Australia, sambutan itu mencerminkan pelbagai masyarakat dan landskap negara serta menandakan peristiwa untuk masyarakat seperti anugerah rasmi termasuk upacara kerakyatan pendatang baharu.