Projek bina jalan RM65j DUN Lambir bermula bulan ini

0

MIRI: Projek pembinaan jalan bernilai RM65 juta menghubungkan kampung dan rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir akan bermula bulan ini.

Wakil rakyatnya, Ripin Lamat berkata pihak teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kerja pemantauan bermula hari ini (Isnin) bagi mengenal pasti kawasan yang sepatutnya dibina dahulu.

“Fokus kita pada tahun ini ialah pembangunan infrastruktur terutama menaik taraf jalan di kampung dan rumah panjang. Projek ini akan dilaksana JKR dan Majlis Bandaraya Miri (MBM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jamuan Malam Pemimpin Bersama Rakyat N62 Lambir di Hotel Parkcity Everly malam kelmarin.

Majlis dirasmi Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut dilaksana ialah kerja membaik pulih keadaan jalan sedia ada seperti penurapan jalan dan meletak batu di jalan tanah becak.

Ripin juga meminta Kementerian Pelancongan mempercepatkan pelaksanaan projek Bakam Point bagi memacu industri pelancongan sekali gus pembangunan ekonomi di Bakam.

Kementerian meluluskan peruntukan RM5 juta untuk projek tersebut pada tahun lalu tetapi kerja pembinaannya masih belum dilakukan.

“Kita berharap ia dibina secara berperingkat secepat mungkin oleh Kementerian Pelancongan,” jelas Ripin.

Ripin berkata pihaknya turut menunggu pelan rekaan tamu di Kampung Beraya selepas Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar meluluskan tapak tanah yang digazetkan sebagai pusat perniagaan.

“Cadangan pembinaannya dibincang bersama Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais,” katanya.

Mengenai pembangunan pendidikan pula, Pusat Khidmat DUN Lambir secara berterusan menyampai bantuan kepada bakal pelajar yang berjaya melanjut pengajian mereka ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

“Ramai sudah mendapat bantuan, kebanyakan mereka adalah anak ahli parti serta masyarakat lain,” jelasnya.

Beliau menambah kata, sejak 2011, Pusat Khidmat DUN Lambir menyampaikan insentif kepada penerima Anugerah Pelajar Cemerlang dan Tokoh Pelajar di empat sekolah menengah di DUN Lambir iaitu SMK Taman Tunku, SM Sains, SMK Agama dan SMK Luar Bandar Miri

Mengulas tentang Seminar Keusahawanan yang dianjur sempena majlis berkenaan, Ripin berharap maklumat akan dijadikan panduan berguna kepada peserta aktif terlibat bidang keusahawanan.

“Kita tidak mahu ahli kita menjadi penonton terhadap pembangunan ekonomi di sekeliling kita,” jelasnya sambil menambah, seminar disertai jawatankuasa Pemuda, Wanita, Induk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lambir serta ketua masyarakat.