Pulihara hutan tangani pencemaran udara

0

Usaha pulihara, tanam semula pokok perlu dipergiat terutama dalam kalangan generasi akan datang

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BINTULU: Hutan berperanan penting menangani pencemaran udara serta menghasilkan gas oksigen penting untuk manusia, kata Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak Datuk Talib Zulpilip.

Jelasnya, usaha memulihara dan menanam semula pokok hutan perlu dipergiatkan terutama dalam kalangan generasi akan datang.

Talib berkata hutan mampu mengekang serta menangani pencemaran dengan membersih ruang udara daripada sisa yang kotor.

“Pokok menyerap karbon dioksida akan menghasil proses fotosintesis seterusnya mengeluarkan gas oksigen yang bukan sahaja penting untuk kehidupan manusia bahkan membersihkan udara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penanaman Pokok 2015 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Mitsubishi Corporation Japan yang membabitkan 4,000 batang pokok di kawasan ladang penanaman pokok hutan UPM Kampus Bintulu kelmarin.

Justeru Talib menyatakan sokongannya terhadap usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bahagian ini dengan menganjur program membabitkan penanaman pokok hutan pada masa depan.

“Pokok ditanam selepas membesar turut berperanan sebagai benteng penahan air dan tanah bagi menangani kejadian tanah runtuh serta banjir,” jelasnya.

Jelasnya, pemaju atau kontraktor yang membangunkan sesuatu kawasan tidak harus memotong semua pokok di kawasan ingin dimaju kerana ia boleh menyebabkan perubahan kepada ekosistem.

Katanya pokok baharu ditanam mungkin memakan masa sehingga 10 tahun untuk membesar.

Pada masa sama, beliau turut menyokong usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai dasar untuk membanteras pembalakan haram memandangkan pembalakan yang tidak terkawal boleh menjejas ekosistem hutan dan kawasan persekitarannya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UPM (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Datuk Dr Mohd Azmi Mohd Lila berkata, sejak 24 tahun lepas sebanyak 120 spesies pokok dengan 350,000 batang pokok ditanam di Bintulu.

Katanya melalui usaha itu pihaknya berharap akan mampu mewujudkan kawasan hijau di Bintulu.

Beliau berkata menurut laporan, sejak 2000, dalam tempoh setahun di seluruh dunia sekitar 142,000 hektar hutan dan pokok musnah kerana penebangan hutan yang tidak terkawal.

Disebabkan itu katanya, usaha memulihara hutan perlu ditekankan memandangkan hutan amat penting sebagai penangkis ancaman.

Turut hadir ketua projek Profesor Datuk Dr Nik Muhamad Ab Majid serta pihak Mitsubishi Corporation Japan.