Tidak perlu menunggu wakil rakyat datang baharu bersuara

0

JULAU: Tuai-tuai Rumah diminta kerap mengunjungi jabatan dan agensi kerajaan bagi meneliti perkembangan pembangunan dan bantuan yang dipohon penduduknya.

Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum berkata mereka tidak perlu menunggu wakil-wakil rakyat datang ke rumah panjang baharu hendak menyuarakan keperluan penduduk.

“Sebagai contoh, pihak berkuasa pertanian lada kini adalah Lembaga Lada Malaysia (LLM) dan tidak lagi di bawah Jabatan Pertanian negeri ini,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Mengiring Masil di Lepong Bilat, Hulu Mujok di sini kelmarin.

Terdahulu, seorang tuai rumah kawasan tersebut berkata mereka hanya mendapat dua beg baja apabila pergi ke jabatan terbabit untuk mendapatkan bantuan.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.

Salang yang juga pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) berkata, jalan menghubungkan rumah panjang di Hulu Mujok akan dibina selepas projek Jalan Hulu Kanowit siap dibina.

Beliau berkata projek itu kini sedang dalam proses untuk dilaksanakan.

“Jangan terpengaruh dengan tuduhan bahawa saya tidak mahu ada jalan dibina ke Hulu Mujok seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya juga mengalu-alukan jika pihak tertentu mahu membina jalan ke Hulu Mujok dari Nanga Meluan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pihak tertentu tidak sepatutnya berasa tidak senang hati melihat individu tertentu sering mengiringinya atau mengikuti semasa lawatan ke sini.

“Ini kerana saya masih lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) walaupun tidak lagi menjadi timbalan menteri,” katanya.

Setibanya rombongan di rumah panjang tersebut, Nanta dan Salang merasmikan projek bekalan air paip bagi rumah panjang 24 pintu itu.

Nanta kemudian melancarkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Hulu Mujok diketuai Pengerusi Protemnya Bantan Kapi.

Hadir sama Pemanca Janggu Banyang, Pengerusi PBB Cawangan Meluan Kaunselor Paulus Banyang, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Julau merangkap penyelaras Parlimen Julau Sylvester Embuas dan Pengerusi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Meluan Belayong Jampong.