187 kes kencing tikus dilaporkan di HRPZII

0

KOTA BAHARU: Sebanyak 187 kes jangkitan leptospirosis atau kencing tikus dirujuk untuk rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini dari awal Januari hingga semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata kes kencing tikus adalah serius kerana pesakit perlu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana ia merosakkan organ dalaman.

“Penyakit ini memang serius dan keadaan ICU HRPZII juga padat, kami terpaksa buka wad ICU tambahan. Bagaimanapun kami boleh menampung (jumlah pesakit).

“Buat masa ini tiada mangsa meninggal akibat jangkitan penyakit itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata kebanyakan mangsa adalah dari jajahan Kota Baharu yang berusia antara 20 dan 30-an.

“Jangkitan ini ketika me-lakukan kerja pembersihan akibat banjir kerana ia berlaku secara terus dan kes ini meningkat selepas bencana tersebut.

“Antara simptom-simptom selepas terkena jangkitan kencing tikus adalah demam yang luar biasa, berasa letih, kekejangan otot dan lain-lain,” kata Dr Ghazali.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan tahap kebersihan di kawasan per-sekitaran dalam keadaan yang memuaskan.

“Orang ramai juga perlu mencuci kaki dan tangan, kita juga perlu elak pembiakan tikus dengan tidak menyim-pan lebihan makanan di dalam rumah.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kes jangkitan leptospirosis meningkat tiga kali ganda di Kelantan ekoran banjir besar bulan lepas.

Katanya, sebelum banjir melanda, sekitar 20 hingga 25 kes direkodkan, tetapi selepas banjir, jumlah meningkat se-hingga 94 kes. — Bernama