Aksi NS Matrix, Sarawak kutip derma mangsa banjir

0

SEREMBAN: Pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan atau kini dikenali NS Matrix akan menentang Sarawak pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.

Menurut laman ‘Facebook’ Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) ‘Rasmi’, selain menguji prestasi dan persefahaman pemain tuan rumah, perlawanan persahabatan itu juga bagi mengumpul derma untuk membantu mangsa banjir melalui hasil penjualan tiket.

“Perlawanan amal itu akan bermula pada 8.45 malam. Harga tiket ialah RM10 bagi tempat duduk berbumbung dan RM5 untuk tempat duduk terbuka,” menurut laman ‘facebook’ itu.

Sehubungan itu, PBNS berharap peminat bola sepak di Negeri Sembilan datang beramai-ramai bagi menyaksikan perlawanan itu sambil menderma.

Sebelum ini, NS Matrix mengadakan perlawanan persahabatan dengan Perak pada 16 Januari dan Terengganu pada 23 Januari bagi membantu mangsa banjir menerusi hasil penjualan tiket. — Bernama