Andrew berpeluang cerah raih pingat emas pada SUKMA 2015

0

KUCHING: Atlet judo negeri, Andrew Sia Kah Huong berpeluang cerah untuk meraih pingat emas buat Sarawak dalam penampilan terakhir pada Sukan Malaysia (SUKMA).

Ketua jurulatih negeri, Anderson Venus yakin atlet judo yang terkenal dengan gelaran ‘gentle giant’ itu mampu menyinar pada SUKMA XVIII di Kuala Lumpur pada Mei atau Jun ini.

Berusia 21 tahun, Andrew memenangi pingat perak kategori lelaki 90kg dan ke atas semasa SUKMA XVI di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Atlet tersebut turut memenangi perlawanan kumpulan menentang Teh Yong Shun dari Kuala Lumpur dan Fong Sheng Wei (Pulau Pinang) tetapi tewas kepada Muhammad Ruzain (Terengganu) menerusi yuko pada final.

“Kita meletakkan harapan tinggi kepada Andrew untuk memenangi pingat pada SUKMA XVIII tetapi tidak pasti warna pingat,” kata Anderson.

Andrew antara atlet skuad 2013 masih kekal selain Chua Zhi Li, Soh Yew Ing dan dua atlet wanita Chang Bui Kiun dan Bong Ling King yang bertanding dalam acara kata.

Pada SUKMA 2013, Sarawak memenangi dua pingat perak dan satu gangsa menerusi Brenton Sim dalam lelaki 81kg, Andrew lelaki 90kg keatas dan Soh lelaki 66kg.

Sebagai persiapan menghadapi SUKMA tahun ini, skuad negeri akan menjalani latihan bersama skuad Pulau Pinang di Pulau Pinang sama ada bulan ini atau Februari depan.

Mereka juga akan mengambil bahagian pada kejohanan peringkat kebangsaan di Pulau Pinang pada Mac.

Skuad negeri ketika ini masih menjalani latihan intensif di pusat latihan elit di Jalan Pending, di sini.